KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini mencatatkan kepada 30,597 orang berbanding 31,316 orang mangsa pada sebelah pagi.
Ia susulan keadaan cuaca di beberapa kawasan di negeri ini yang semakin baik sekaligus menyaksikan seramai 719 mangsa sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Pegawai Pengurusan Bencana dan Operasi, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Kapten Mohd. Hanif Omar berkata, setakat pukul 2.30 petang sebanyak 8,774 buah keluarga yang berlindung di 134 pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurutnya, angka itu mencatatkan penurunan apabila 9,006 keluarga berada di 139 PPS pada sebelah pagi tadi.
“Bagaimanapun, Pasir Mas masih kekal daerah yang paling teruk terjejas apabila melibatkan seramai 12,028 mangsa diikuti Pasir Puteh (5,878 mangsa), Tumpat (4,131 mangsa) dan Kota Bharu (4,284 mangsa).
“Seramai 2,180 mangsa banjir di Kuala Krai, Tanah Merah (849 mangsa), Machang (303 mangsa), Bachok (1,672 mangsa),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Hanif memberitahu, tiga buah PPS di Jeli yang menempatkan seramai 420 mangsa kelmarin telah ditutup sepenuhnya semalam.
Katanya, paras air Sungai Golok di Jenob Tanah Merah ketika ini mencatatkan bacaan berjaga-jaga.
“Bagaimanapun, Rantau Panjang dan Kuala Jambu meningkat dan masih berada pada paras bahaya,” ujarnya. –UTUSAN