ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri didesak untuk membuat semakan semula pemetaan persempadanan perairan antarabangsa antara Johor dan Singapura, khasnya di perairan Selat Tebrau, di sini.
Gesaan itu dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad dalam ucapan perbahasannya mengenai Belanjawan Johor 2023 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini ekoran tindakan pihak berkuasa Singapura yang menghalau nelayan tempatan dengan kata-kata kesat dan berbaur hinaan, Oktober lalu.
“Insiden tersebut tidak wajar dan tidak sepatutnya berlaku, imej rakyat kita dihina, nelayan kita ini bukan penceroboh sebaliknya hanya mencari rezeki sebagai nelayan dengan menjala dan memancing di sana.
“Tetapi mereka dihalau dan dihina dengan kata-kata kesat, tindakan pihak berkuasa negara itu, iaitu Police Cost Guard tidak wajar dan kerajaan negeri harus ambil tindakan segera dan hantar surat bantahan kepada negara tersebut.
“Isu ini tidak harus ‘disenyapkan’ begitu sahaja kerana tanpa ada bantahan, seolah-olah mengaku kesalahan rakyat kita sedangkan selama ini di situlah mereka mencari rezeki,” katanya.
Pada 24 Oktober lalu, beberapa nelayan tempatan mendakwa dihamburkan dengan kata-kata kesat dan penghinaan oleh pihak berkuasa Singapura.
Seorang nelayan, Syamsul Raihan Mohd. Noor, 40, mendakwa, antara kata-kata kesat yang dilemparkan anggota penguatkuasa terbabit termasuklah panggilan ‘Melayu bodoh’.
Sementara itu, Pandak turut mencadangkan supaya pembinaan Hospital Sultanah Aminah (HSA) 2 yang sehingga kini masih tertangguh ekoran beberapa perkara terutama isu tanah dipindahkan ke kawasan Kota Iskandar.
“Ibarat besar tapak tangan, nyiru Kota Iskandar tadahkan. Malah, saya ingin memaklumkan bahawa isu lokasi bukan suatu masalah kerana pihak UEM Sunrise telah mengenal pasti dan bersetuju menyediakan tapak seluas lebih empat hektar untuk didirikan dengan sebuah hospital.
“Kota Iskandar berharap Menteri Kesihatan baharu yang diberi amanah menjaga aspek kesihatan rakyat akan dapat menyelami keperluan ini kerana Klinik Kesihatan Gelang Patah sudah tidak mampu memenuhi keperluan semasa,” jelasnya. – UTUSAN