Johor laksana program intervensi SPM untuk pelajar tahfiz

Johor laksana program intervensi SPM untuk pelajar tahfiz

MOHD. FARED MOHD. KHALID menjawab soalan Aznan Tamin (BN-Tanjung Surat) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri akan melaksanakan Program Intervensi Tahfiz Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun depan bagi memastikan masa depan kumpulan pelajar di institusi pembelajaran madrasah lebih terjamin.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, program berkenaan akan mewajibkan pelajar tahfiz di Madrasah Tahfiz Swasta berusia 17 tahun ke atas untuk menduduki SPM.

Beliau berkata, hingga kini hanya 30 daripada 125 madrasah tahfiz yang berdaftar telah melaksanakan kurikulum kebangsaan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Madrasah berkenaan juga melaksanakan kurikulum kebangsaan itu sama ada secara penuh, tuisyen mingguan atau mengikuti pengajian di sekolah menengah berhampiran, selain melaksanakan program TVET (Technical and Vocational Education Training), iaitu Institut Tahfiz Kemahiran (Intake).

“Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Negeri JOHOR (JAINJ) berkolaborasi dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) bagi menjayakan Program Intervensi SPM anjuran Kementerian Pendidikan, iaitu Model Bekok dan Model Tuisyen,” katanya semasa menjawab soalan Aznan Tamin (BN-Tanjung Surat) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mohd. Fared berkata, seramai 220 pelajar sekolah tahfiz Johor telah mengikuti program berkenaan tahun lalu, manakala  254 pelajar tahfiz dijangka terlibat untuk sesi pembelajaran tahun ini.

“Menerusi Model Bekok, RM75,000 setahun diperuntukkan oleh Perbadanan Islam Johor (PIJ) untuk tiga sekolah, manakala Model Tuisyen perbelanjaan disalurkan Kementerian Pendidikan dengan nilai RM1,500 bagi setiap pelajar berdaftar. 

“Kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sentiasa mengambil berat dan memberi perhatian serius terhadap pelajar di institusi tahfiz swasta di seluruh negeri ini.

“Usaha ini dibuat bagi memastikan mereka mendapat pendidikan agama dan akademik yang seimbang bagi meneruskan hala tuju ke pengajian lebih tinggi di peringkat diploma dan ijazah seperti di Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) dan lain-lain,” jelasnya.

Menerusi Model Bekok, pelajar tahfiz swasta akan belajar dan menduduki SPM seperti pelajar lain di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bekok, Segamat,  SMK Benut, Pontian dan SMK Simpang Renggam, Kluang.

Bagi Model Tuisyen pula, pelajar tahfiz akan belajar subjek SPM di pusat tuisyen yang dibuka di sesuatu tempat atau guru-guru akan hadir mengajar di madrasah tahfiz. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya