KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Datuk Johari Abdul diangkat menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.
Beliau yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh 147 undi berbanding 74 undi diterima bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad dicadangkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Johari pada semalam telah mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun serta-merta.
Beliau sebelum ini menjadi ADUN Gurun sejak 2018 selepas menewaskan tiga calon lain dengan majoriti 4,207 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Namun, pada PRU15, beliau tidak bertanding, sebaliknya digantikan anaknya, Dr. Mohammed Taufiq di kerusi Parlimen Sungai Petani dan menjadi satu-satunya wakil Pakatan Harapan (PH) menang di Kedah.
Pada 13 Julai 2020, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Azhar Azizan Harun telah dilantik menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat menggantikan Tan Sri Ariff Md. Yusof.
Pencalonan Azhar diusulkan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengikut Peraturan Mesyuarat 4 (1), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. – UTUSAN