SHAH ALAM: Bonggol jalan atau hump tidak boleh dibina secara sembrono semata-mata untuk memastikan pengguna jalan raya memperlahankan kenderaan mereka kerana boleh mengakibatkan kemalangan.
Justeru, kontraktor atau pihak berkuasa yang mahu membina bonggol di jalan utama perlu memastikan binaannya mematuhi spesifikasi ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim, berkata, pihak yang mahu membina bonggol di mana-mana jalan atau lorong juga perlu meminta kebenaran daripada pihak berkuasa dan mematuhi spesifikasi ditetapkan.
“Bonggol yang dibina tanpa spesifikasi dibenarkan adalah berbahaya untuk pengguna jalan raya. Oleh itu, bonggol atau ‘hump’ ini perlu ada spesifikasi dari aspek saiz, ketinggian.
“Malahan cat di bonggol tersebut tidak boleh sembarangan. Sebab ada sesetengah jenis cat kuning yang licin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Jelajah Ehsan Rakyat, semalam.
Terdahulu, kewujudan bonggol di Persiaran Tun Arshad Ayub tular dalam media sosial yang memaparkan kenderaan ‘terbang’ apabila melaluinya sehingga mengundang kecaman pengguna laman itu.
Tambahnya lagi, bonggol hanya boleh dipasang di tempat yang dibenarkan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
“Kawasan seperti selekoh kita tidak benarkan. PBT dan JKR sudah ada peraturan ini semua. Permohonan untuk pembinaan bonggol perlu kelulusan terlebih dahulu. Kawasan awam seperti sekolah, hospital, taman-taman kita akan beri keutamaan,” jelasnya.
Sementara itu, dalam perkembangan semalam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan rekaan lintasan pejalan kaki yang mewujudkan bonggol kontroversi di Seksyen 7 memerlukan beberapa penambahbaikan.
Penambahbaikan itu termasuklah pemasangan lampu kecemasan atau amaran, garisan pemutus kelajuan dan melandaikan kadar kecerunan.
Menurut Ketua Bahagian Korporatnya, Shahrin Ahmad, laluan tersebut melibatkan kenderaan menurun daripada arah Jalan Persiaran Tun Arshad Ayub.
“Serahan tapak kepada MBSA oleh pihak kontraktor akan dilakukan sepenuhnya dengan anggaran tempoh sebanyak 14 hari waktu bekerja. Sehubungan dengan itu, MBSA juga akan melengkapkan segala aspek keselamatan untuk membolehkan lintasan pejalan kaki ini dapat berfungsi dengan baik dan selamat.
“Pengguna jalan raya dari arah Bulatan Bestari, Seksyen 2 yang menuju ke arah Persiaran Tun Arshad Ayub dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan memperlahankan kenderaan
semasa menggunakan jalan tersebut,” ujarnya. – UTUSAN