JKDM patahkan cubaan seludup rokok, barang elektrik RM1.54 juta

JKDM patahkan cubaan seludup rokok, barang elektrik RM1.54 juta

HAMISAN Kalip (tengah) menunjukkan rokok seludup yang dirampas dalam sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor dalam sidang akhbar di Kompleks Pencegahan Negeri JKDM, Butterworth, Pulau Pinang, hari ini. - FOTO/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok dan barangan elektrik bernilai RM1.54 juta dengan anggaran duti serta cukai keseluruhan berjumlah RM5.34 juta dalam dua pemeriksaan berasingan pada 21 dan 22 November lalu.

Pengarah Kastam negeri, Hamisan Kalip berkata, kes pertama dikesan kira-kira pukul 1.15 petang pada 22 November susulan penahanan sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor oleh sepasukan anggota Kastam negeri dengan dibantu oleh Unit Kawalan Kontena (CCU) Pelabuhan Klang.

Katanya, hasil pemeriksaan menemukan sejumlah 7.8 juta batang rokok putih disyaki tidak berkastam di dalam 788 kotak yang dianggarkan bernilai RM630,400 dengan nilai cukai berjumlah RM5,049,504.

“Berdasarkan siasatan awal, kontena itu dipercayai dikendalikan sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang.

“Barangan tersebut pula diimport oleh sebuah syarikat yang berstatus sendirian berhad di Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita di Kompleks Pencegahan Negeri JKDM, di sini hari ini.

Hamisan berkata, siasatan lanjut mendapati, modus operandi yang digunakan dalam kes berkenaan adalah dengan membuat pengikraran yang tidak benar pada Borang Manifes (K4) iaitu mengikrar dagangan sebagai tuala, filem plastik, bahan seramik, tisu basah dan rokok. 

Bagaimanapun katanya, hasil pemeriksaan mendapati, dagangan sebenar yang dipercayai berasal dari sebuah negara di Asia Timur itu merupakan bahan seramik, tisu basah serta rokok yang tidak memiliki permit import.

“Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 seperti berikut iaitu cubaan mengelakkan dengan frau dan duti kastam selain mengelakkan larangan import di bawah Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967.

“Sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau memberitahu, kes kedua pula dikesan kira-kira pukul 4 petang sehari sebelum itu susulan penahanan sebuah kontena di Pangkalan Kontena Butterworth Utara oleh sepasukan anggota Kastam daripada Bahagian Penguatkuasaan, Pulau Pinang.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah 1,300 unit lengkap periuk aruhan atau ‘induction cooker’ yang disyaki tidak berkastam dianggarkan bernilai RM910,000 serta cukai berjumlah RM291,200.

Menurut beliau, siasatan mendapati, kontena itu dipercayai diimport oleh sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan seorang suspek lelaki berusia 54 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Modus operandi yang digunakan adalah dengan membuat pengikraran palsu di dalam Borang Kastam 1 (K1) iaitu mengikrar dagangan sebagai 32 bahagian berbeza periuk aruhan yang belum siap pasang di mana item-item yang diikrarkan ini mendapat manfaat daripada pengecualian cukai penuh serta tidak memerlukan lesen import.

“Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan membuat perakuan palsu dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang tak berkastam,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya