KUALA LUMPUR: Bekas pegawai sebuah bank tempatan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia sering mendengar Jho Low menyebut nama-nama individu yang terkenal dan berkuasa yang dikatakan sering berjumpa atau bercuti dengannya apabila bersama-sama dengan rakan-rakannya.
Antara nama-nama yang sering disebut ialah Gabenor Bank Negara, Perdana Menteri Malaysia dan putera-putera daripada Kuwait, Arab Saudi.
Menurut bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping, Jho Low atau nama sebenarnya, Low Taek Jho juga mendakwa sering berjumpa atau bercuti dengan Permaisuri Rania (Permaisuri Jordan).
Wanita itu bagaimanapun tidak pernah memberi perhatian penuh terhadap kata-kata Jho Low mengenai individu-individu terbabit kerana perkara itu tidak penting baginya.
Saksi pendakwaan ke-41 itu berkata demikian dalam perbicaraan kes Najib, 69, yang sedang dibicarakan terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Pada satu ketika, perbicaraan kes itu menjadi sedikit tegang apabila Muhammad Shafee dan Ging Ping saling mencelah percakapan masing-masing.
Pada ketika itu, Muhammad Shafee bertanya mengenai pelantikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn. Bhd., Nik Faisal Ariff Kamil sebagai pemegang mandat akaun Najib dan transaksi-transaksi membabitkan akaun anak guamnya itu.
Muhammad Shafee: Cik Joanna, awak tidak menjawab soalan saya. Awak selalu beri jawapan yang tidak menjawab kepada soalan saya.
Ging Ping: Nik Faisal yang sepatutnya berbuat demikian, saya tidak ada akses kepadanya.
Muhammad Shafee: Saya tanya sama ada awak ada menghubungi Najib untuk mengesahkan pelantikan Nik Faisal sebagai pemegang mandat. Saya bercakap pasal ayam, awak menjawab mengenai itik. Saya perlukan awak beri jawapan mengenai ayam. Ada atau tidak awak hubungi Najib mengenai pelantikan mandat ini?
Ging Ping: Tiada.
Terdahulu, Ging Ping ketika disoal balas memberitahu, pihak bank mengeluarkan contoh surat pemegang mandat yang perlu diikuti oleh pelanggan dalam berbuat demikian.
“Saya menyerahkan borang kosong dan contoh surat pelantikan pemegang mandat kepada Jho Low kerana pada ketika itu saya tidak tahu siapa yang akan dilantik sebagai pemegang mandat.
“Borang-borang tersebut kemudian diserahkan semula kepada pihak bank oleh penghantar surat dalam keadaan semua ruang telah diisi dan ditandatangani,” katanya.
Perbicaraan yang didengar oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – UTUSAN