Jenazah warga emas terperangkap banjir - Utusan Malaysia

Jenazah warga emas terperangkap banjir

RUMAH arwah Che Gayah Mohamad yang ditenggelami banjir di Kampung Gaung, Jerteh, Besut hari ini. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT : Seorang lelaki terpaksa meminta pertolongan daripada orang ramai melalui media sosial Facebook untuk mengeluarkan jenazah neneknya yang terperangkap di dalam rumah yang ditenggelami banjir, semalam.

Nik Mohd. Faiz Mohd. Khalil, 30, berkata, neneknya, Che Gayah Mohamad, 82, meninggal dunia akibat sakit tua di Kampung Gaung, Jerteh di sini pada pukul 8 malam.

“Sepatutnya proses pengebumian dibuat malam tadi namun ada beberapa dokumen yang tidak lengkap, jadi kami bercadang untuk mengebumikan jenazah nenek pagi ini.

“Bagaimanapun, banjir naik begitu cepat sejak pukul 3 pagi menyebabkan semua ahli keluarga tidak boleh keluar untuk meneruskan proses pengebumian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nik Mohd. Faiz berkata, dia terpaksa buat hebahan di Facebook bagi meminta tolong orang ramai mengeluarkan jenazah neneknya.

Tambahnya, hasil hebahan itu akhirnya sebuah bot masuk ke kawasan rumah mereka untuk membantu membawa jenazah warga emas tersebut ke Hospital Besut di sini.

“Alhamdulillah, rasa lega sangat kerana jenazah nenek dapat dibawa keluar menggunakan bot dan kami berharap jenazah dapat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung secepat mungkin.

“Kami masih menunggu permit kebenaran untuk meneruskan proses pengebumian arwah nenek,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN