PASIR PUTEH: Jenazah mangsa tragedi tanah runtuh di Tapak Perkhemahan Fathers’s Organic Faram, Batang Kali, Hulu Selangor, Nurul Azwani Kamarulzaman, 31, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Darul Sakinah, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, malam ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia sepupunya, Abdul Muhaimin Ismail, 31, berkata, ahli keluarga mengambil keputusan menyempurnakan pengebumian jenazah di Kuala Lumpur memandangkan semua keluarga terdekat tinggal di situ.
Menurutnya, solat jenazah akan disempurnakan di Masjid Abu Hurairah, batu Lima, Jalan Ipoh selepas solat Isyak sebelum dibawa ke tanah perkuburan Islam Darul Sakinah.
“Ahli keluarga reda dengan pemergian arwah yang dianggap sebagai ketentuan dan takdir. Sama-sama kita mendoakan kesejahteraan rohnya untuk bersama orang-orang yang solehah. Terima kasih kepada semua anggota pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus memikul tanggungjawab,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim mengesahkan mangsa adalah penduduk asal Kampung Gong Lapang, di sini yang kali terakhir pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dan memohon kemaafan kerana gagal menghadiri upacara pengebumian malam ini. Insyaallah., saya akan ziarah ahli keluarga khususnya ibunya, Siti Esah Hassan, 53, di Kuala Lumpur esok.
“Keluarga terdekat arwah kesemuanya tinggal di luar Kelantan dan saya difahamkan rumah mereka sudah tidak ada di kampung berkenaan,” ujarnya.
Difahamkan, Nurul Azwani adalah pekerja kantin Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong, Kampung Batu Kuala Lumpur dan mengikuti rombongan 20 guru sekolah itu serta berkhemah di lokasi kejadian sejak Rabu lalu. – UTUSAN