PUTRAJAYA: Setelah lebih dua tahun tidak beroperasi, pembukaan semula Restoran Felda D’saji di Mekah kelmarin ternyata disambut dengan penuh perasaan keterujaan.
Perkembangan tersebut dapat jelas disaksikan apabila ribuan jemaah umrah warga Malaysia tidak putus-putus datang bagi mengunjungi premis itu sejurus dibuka kembali.
“Alhamdulillah, hari pertama pembukaan semula restoran,” nukil pentadbir laman sosial rasmi Felda yang turut tular apabila meraih lebih 1,300 tanda suka daripada warganet.
Rabu lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Mohamad al-Bakri melalui akaun sosialnya mengesahkan restoran itu dibuka kembali yang kebetulan berada di tanah suci untuk menunaikan ibadah umrah.
Malah bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu turut berpeluang ‘merasmikan’ pula premis tersebut lebih awal apabila diberikan makan sekeping roti canai sebagai tanda simbolik.
Restoran dimiliki oleh Felda Middle East Sdn. Bhd.(Felme), iaitu subsidiari agensi tanah persekutuan itu terkenal kerana ia satu-satunya menyajikan menu Malaysia di Mekah.
Kedudukan yang strategik di aras tiga Hotel al-Safwah Royale Orchid iaitu hanya 50 meter dari Masjidil Haram, menjadikan premis ini tumpuan utama jemaah dari Malaysia.
Bagaimanapun hantaran Zulkifli yang menyatakan restoran itu dibuka 30 Disember mendapat reaksi luar biasa warga Malaysia di Mekah yang tidak sabar meraikannya.
Justeru Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh menerusi hantaran dalam laman sosial Felda kemudiannya mengarahkan premis ini dibuka sehari lebih awal iaitu 29 Disember.
Felme yang mula beroperasi di Mekah pada 2008 menguruskan restoran itu yang dibuka 24 jam setiap hari sebelum menubuhkan pula Restoran Malaysia di Jeddah pada 2015.
Ia juga mewujudkan Unit Katering yang dikenali sebagai D’Saji Malaysian Kitchen di Batha Quraish, Mekah pada 2011 dengan peringkat awal membekalkan 400 sajian sehari.
Dapur berkenaan pada 2017 kemudian dilaporkan media tempatan mampu menyediakan kapasiti maksimum 20,000 sajian pelbagai setiap hari termasuk menu antarabangsa.
Unit tersebut turut menawarkan katering cita rasa Asia dan membekalkan pek makanan untuk sepanjang musim haji terutama kepada jemaah muassasah rantau Asia Tenggara.
Operasi Restoran Felda D’saji namun terpaksa digantung pada Mac 2020 lalu apabila sempadan Arab Saudi ditutup kepada dunia luar susulan isu penularan wabak Covid-19. – UTUSAN