Jauhi peniaga jual harga tinggi - Rafizi

Jauhi peniaga jual harga tinggi – Rafizi

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi memberi tumpuan jangka pendek kepada kebertanggungjawab harga berpatutan dengan membangunkan ekosistem berasaskan data-data harga dari seluruh negara untuk menyuntik keanjalan harga dan bekalan.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, ekosistem itu yang diharap akan dibangunkan dan digerakkan pengguna sendiri untuk dilancarkan dalam masa sebulan mampu membantu menambah keanjalan di sebelah permintaan.

Kata beliau, ia sebagai satu usaha mengawal inflasi di masa akan datang yang pada bulan ini mencatatkan kadar 4 peratus.

“Usaha mengawal inflasi memerlukan kerjasama semua pihak daripada kerajaan, peniaga sehinggalah kepada rakyat.

“Kementerian-kementerian kini giat membangunkan langkah-langkah segera untuk membaiki rantaian nilai di sebelah pembekal untuk memastikan harga tidak naik dengan bekalan yang mencukupi,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada masa sama, Rafizi berpendapat, kesedaran rakyat wajar digerakkan supaya lebih tangkas bertindak balas kepada kenaikan harga makanan dan minuman bukan alkohol untuk memastikan hubung kait permintaan dan bekalan lebih anjal.

Ini bermaksud, kata beliau, jika harga yang dikenakan peniaga dirasakan terlalu tinggi berbanding harga purata peniaga-peniaga lain, sewajarnya pengguna menjauhi peniaga itu agar faktor permintaan yang berkurang akan menekan peniaga untuk menurunkan harga.

Beliau menjelaskan, langkah itu di samping kementerian-kementerian terbabit mengusahakan langkah langkah jangka sederhana dan jangka panjang di sebelah bekalan.

“Saya juga memilih untuk memperbaiki keanjalan saling kait harga dan bekalan dalam usaha menangani inflasi.

“Secara umumnya, jika harga sesuatu barang menjadi mahal, pengguna akan kurang membeli dan itu akan memberi kesan akhirnya kepada harga yang dikenakan pembekal.

“Namun, perkara itu tidak begitu berlaku dengan harga barang makanan dan minuman bukan alkohol dalam kalangan penduduk, termasuklah dari segi tabiat membeli makanan di luar rumah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun harga barang makanan dan minuman bukan alkohol terus naik, orang ramai terus membeli dan membayar pada harga lebih tinggi yang dikenakan peniaga.

Katanya, ini sedikit sebanyak menyumbang kepada kenaikan harga barang makanan dan minuman bukan alkohol yang terus naik dan dirasakan tidak turun.

“Contohnya, bagi bulan November lalu, kadar inflasi kekal pada kadar 4 peratus kerana ia didorong peningkatan harga makanan dan minuman bukan alkohol (naik pada kadar 7.3 peratus untuk November berbanding 7.1 peratus bulan sebelumnya).

“Kenaikan ini sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan harga makanan siap dimasak, terutamanya yang berasaskan ayam dan tepung,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya