KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Jeffrydin berharap syarikat rakaman tempatan tidak mengabaikan peranan mereka dalam melindungi muzik Pop Yeh Yeh daripada hilang ditelan zaman.
Katanya, pelbagai usaha boleh dilakukan agar kegemilangan muzik itu dapat dikembalikan.
“Saya harap mereka dapat mencari cara untuk menghidupkan semula genre muzik ini, sama ada dengan merekrut penyanyi pelapis atau menerbitkan semula lagu Pop Yeh Yeh sedia ada.
“Pop Yeh Yeh masih memiliki pengikut yang ramai. Buktiknya, lagu genre ini masih dinyanyikan pada majlis perkahwinan atau di pusat karaoke.
“Cuma, kita perlukan pelapis dan usaha memeliharanya daripada pupus ditelan zaman. Peranan ini juga terletak di bahu syarikat rakaman,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pop Yeh Yeh adalah genre muzik yang popular di beberapa negara nusantara termasuk Malaysia, Singapura, Brunei dan Sumatera, Indonesia sekitar tahun 1960-an.
Bagaimanapun, sambutan terhadap muzik Pop Yeh Yeh semakin berkurangan ekoran wujudnya genre muzik moden yang menguasai industri muzik.
Dalam pada itu, Jeffry juga menyeru syarikat korporat untuk bersama-sama memainkan peranan melindungi Pop Yeh Yeh agar dapat bertahan lebih lama.
“Selain program Gegar Vaganza atau The Masked Singer, mereka diharapkan dapat menaja program yang lebih fokus kepada muzik Pop Yeh Yeh seperti pertandingan gitar rancak.
“Alu-alukan golongan remaja menyertainya. Cara ini pasti berkesan untuk mencari pelapis muzik Pop Yeh Yeh,” katanya.