KESERONOKAN ‘dunia tipu-tipu’ di media sosial membuatkan ramai terutama anak muda terjerat dan hilang pertimbangan akal waras hanya kerana ghairah mengejar nama.
Tanpa memikirkan impak tindakan mereka, sesetengah pengguna media sosial menjadikan platform seperti YouTube, Instagram dan TikTok untuk mencipta kandungan berbentuk provokasi yang memicu perhatian umum.
Lantaran dahagakan penghargaan dalam bentuk Like, mereka bagaikan kecanduan hingga sanggup memperjudikan apa sahaja demi mendapatkan respons pengikut.
Ketagihan terhadap penerimaan pengikut membuatkan fungsi dan peranan media sosial sebagai sumber perkongsian maklumat hilang, sebaliknya semakin dibanjiri pengisian kandungan menjengkelkan serta memualkan.
Ada yang melihat respons dan jumlah pengikut sebagai lambang status sosial yang secara tidak langsung mengubah perspektif umum terhadap individu tersebut.
Disebabkan keghairahan memburu jumlah pengikut, adab dan kewarasan akal diketepikan asalkan impian untuk dikenali menjadi kenyataan.
Mereka tidak lagi memikirkan bagaimana mempertingkatkan mutu atau bentuk pengisian kandungan, sebaliknya lebih banyak memikirkan cara untuk cepat popular.
Contoh terbaru, bagaimana seorang pempengaruh kononnya mahu melakukan eksperimen sosial dengan membuat video prank yang mengundang kecaman ramai.
Dalam video berkenaan, pempengaruh tersebut telah ‘menekup’ sebiji kek ke muka seorang wanita yang sedang menolak seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) di atas kerusi roda.
Meskipun sekadar lakonan, ia sebenarnya mencetus persoalan besar, terutama tentang adab dan akhlak generasi muda.
Itukah wajah generasi pewaris negara? Lebih membimbangkan apabila pendekatan prank semakin berleluasa dan seolah-olah menjadi trend hingga ramai yang tampil bersuara menyatakan keresahan jika tidak segera dibendung.
Seperti kata Datuk Fazley Yaakob, apa sahaja publisiti adalah satu bentuk pemasaran, namun mahukah kita diingati dengan perkara buruk?
Baginya, jika sehingga sanggup melakukan perkara yang menjatuhkan maruah, meraih simpati palsu atau sengaja menaikkan kemarahan ramai, ia sama seperti memainkan perasaan pengikut.
Impaknya, kepercayaan umum terhadap kredibiliti dan kewibawaan seseorang selebriti atau pempengaruh semakin menipis, malah tidak mustahil populariti yang diharapkan akhirnya menjadi racun yang membinasakan diri.
Sudah terlalu banyak contoh kita lihat, tidak kurang ada terpaksa merangkak dan bertatih semula semata-mata untuk mendapatkan kembali kepercayaan ramai. Sayang, segala kerja keras dan usaha bertahun lenyap begitu sahaja gara-gara tindakan kurang cerdik.