Jalan runtuh sukarkan 30,000 penduduk

Jalan runtuh sukarkan 30,000 penduduk

KEADAAN Jalan Jerangau-Jabor berhampiran persimpangan Bukit Besi, Dungun, Terengganu yang runtuh sejak Rabu lalu. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Lebih 30,000 penduduk di beberapa buah kampung menghadapi kesukaran setelah terputus hubungan berikutan laluan di Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran persimpangan Bukit Besi di sini, runtuh sejak Rabu lalu.

Tinjauan di laluan tersebut mendapati, sebahagian struktur jalan itu runtuh dan membentuk lubang sedalam dua meter, menyebabkan laluan yang menghubungkan Bandar Bukit Besi ke Ajil ditutup kepada semua kenderaan.

Penutupan jalan tersebut menjejaskan penduduk antaranya Kampung Dendang, Kampung Padang Ping dan Kampung Paya Lawas selain kakitangan Pusat Koreksional Dungun yang terpaksa menggunakan laluan Kampung Wa untuk ke bandar Bukit Besi serta bandar Dungun.

Seorang penduduk dari Kampung Lentang, Shamsul Azmi Ghazali, 30, berkata, dia yang biasa berulang-alik ke Bandar Bukit Besi untuk mengisi minyak kenderaan dan menyelesaikan urusan-urusan lain terpaksa menggunakan jalan Kampung Wa yang lebih jauh kira-kira 10 kilometer berbanding laluan biasa.

Katanya, walaupun jalan itu ditutup, terdapat pengguna yang berdegil dan mengambil mudah dengan mengambil risiko menggunakan laluan tersebut tanpa memikirkan soal keselamatan.

“Laluan ini menjadi jalan utama penduduk kampung ke Bukit Besi, namun buat sementara waktu ini terpaksa melalui jalan alternatif yang lebih jauh,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohd. Zuki Ali, 63, yang tinggal di Kampung Nerang pula berkata, jalan tersebut bukan hanya menjadi laluan penduduk, malah pengguna jalan raya dari Hulu Kemaman ke Bandar Kuala Terengganu.

“Sejak dahulu, jarang pengguna seperti lori yang membawa balak menggunakan lebuh raya. Mereka lalu jalan ini sebab lebih dekat nak ke mana-mana.

“Bila jalan ini ditutup, terpaksa mereka guna jalan kampung dan ia pasti memberi risiko kepada penduduk sebab laluan jalan kampung sempit dan kurang sesuai untuk kenderaan berat,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, kerja-kerja pembaikan jalan itu akan dilakukan segera untuk keselesaan penduduk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya