Jalan runtuh akibat arus air sungai deras 

Jalan runtuh akibat arus air sungai deras 

KEADAAN jalan di Kampung Bujal ke Kampung Payoh, Kijal runtuh akibat arus deras air Sungai Kampung Bujal, Kemaman, Terengganu. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Hujan lebat dan arus air sungai yang deras menyebabkan jalan yang menghubungkan Kampung Payoh dan Kampung Bujal, Kijal di sini terputus dan ditutup kepada semua kenderaan. 

Penduduk Kampung Payoh, Zurida Kasim, 51, berkata, kejadian tersebut disedari penduduk kampung selepas jalan yang sebelum ini ditenggelami air mulai surut pada pagi Isnin. 

“Ahad malam berlaku hujan yang sangat lebat sehingga peningkatan paras air Sungai Kampung Bujal secara mendadak serta arus deras. 

“Kami hanya sedar kejadian ini berlaku selepas air surut. Mujurlah tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sebab jalan ini bukan hanya terputus dua, malah terputus tiga,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini. 

Menurutnya, jalan tersebut merupakan laluan keluar dan masuk utama bagi kira-kira 60 penduduk di Kampung Bujal untuk keluar bekerja, ke sekolah dan masjid, selain menjadi laluan bagi pekebun di Kampung Payoh yang mengusahakan tanaman sawit dan sayuran di Rancangan Tanah Berkelompok Kampung Bujal. 

Seorang lagi penduduk, Zubaidah Mohmad,44, berkata, dia dan suaminya, Azmi Mustafa, 47,  terpaksa menggunakan laluan alternatif melalui Kampung Bukit Teruna yang lebih jauh untuk ke ladang sawitnya di Kampung Bujal.

“Biasanya hanya dua kilometer sahaja saya dan suami naik motosikal untuk ke kebun. Bila jalan ini runtuh, terpaksa kami lalu jalan jauh hampir 10 kilometer. 

“Kami harap jalan ini akan dibaiki segera dengan dibuat pembaikan sebab ini bukan kejadian pertama, malah pernah berlaku runtuhan sama lebih lima tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Payoh, Yahya Ismail pula berkata, insiden tersebut sudah dimaklumkan kepada pihak berwajib dan berharap penyelesaian segera akan diambil demi keselesaan penduduk di kedua-kedua kampung yang menggunakan laluan tersebut.

“Kejadian itu mungkin berlaku berikutan pembentung di bawah jalan itu tidak menampung kuantiti aliran air sungai yang banyak dan sangat deras pada Ahad lalu,” katanya. 

Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati penduduk mengambil risiko dengan menghampiri kawasan runtuhan dan melakukan aktiviti menangkap ikan di sungai berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya