Jadi pelakon bukan untuk kejar watak hero - Taufiq Hanafi - Utusan Malaysia

Jadi pelakon bukan untuk kejar watak hero – Taufiq Hanafi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bakal menerajui filem The Fireflyz, pelakon, Taufiq Hanafi tidak mengambil hati sekiranya ada segelintir warganet yang mempertikai pemilihannya memegang watak utama dalam produksi tersebut.

Sebaliknya jelas Taufiq, dia akan memberikan lakonan terbaik, selain mahu membuktikan bakat dan kemampuannya sebagai pelakon kerana kehadirannya bukan sekadar untuk mengejar watak utama.

“Mungkin ada yang pertikai. Saya followers pun tidak ramai, tetapi ini rezeki. Sebelum ini, saya lebih kepada watak sampingan dalam filem aksi.

“Apabila menerima tawaran untuk watak Cikgu Adam, saya teruja sangat. Bukan sebab watak utama, tetapi karakter Cikgu Adam sangat berbeza kerana perlu bermain emosi dan jiwa seorang pendidik.

“Saya mahu keluar zon selesa. Orang sudah lihat saya beraksi, kali ini watak berbeza. Saya jadi pelakon bukan untuk kejar watak hero. Kalau ada rezeki, Alhamdulillah. Saya mahu tingkatkan ilmu lakonan, pada masa sama, buktikan kehadiran dalam dunia seni bukan sia-sia,” katanya.

Taufiq ditemui ketika majlis pelancaran filem tersebut yang disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) Iskandar Mirza Mohd Yusof dan dihadiri Pengerusi Eksekutif Redboy Pictures Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr How Kok Choong.

The Fireflyz terbitan Redboy Pictures Sdn. Bhd. mengisahkan pelajar disleksia, Fazli yang mahu menyertai pasukan bola sepak sekolahnya dengan bantuan Cikgu Adam dan Cikgu William.

Bakal memulakan penggambaran awal tahun hadapan, kongsi pelakon Paskal ini lagi, dia akan mengambil kelas lakonan untuk menjiwai watak tersebut dengan lebih mendalam, selain berhasrat menurunkan berat badan.

“Saya mahu kuruskan badan sedikit sebab Cikgu Adam ini guru sukan dan jurulatih bola sepak, jadi mahu nampak fit. Ini adalah usaha saya untuk menjayakan watak tersebut. Sekarang pun berat badan semakin susut.

“Saya juga ada berjumpa beberapa ibu bapa yang mempunyai anak disleksia untuk lebih memahami mereka. Teruja dan gementar, tetapi ini adalah cabaran untuk saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN