Isu gaji penjawat awam, tuntutan sejak 15 tahun

Isu gaji penjawat awam, tuntutan sejak 15 tahun

ZULKIFLI MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

TUNTUTAN kenaikan gaji 30 hingga 50 peratus oleh Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk kakitangan swasta. Wartawan Mingguan Malaysia, ABDUL RAZAK IDRIS menemui Timbalan Presiden Cuepacs, ZULKIFLI MOHAMED untuk mendapat gambaran sebenar cabaran tuntutan tersebut.

MINGGUAN: Mengapa Cuepacs tuntut kenaikan gaji 30 hingga 50 peratus?

ZULKIFLI MOHAMED: Gaji kakitangan awam dilihat masih rendah, ia tidak disemak sejak 2007 iaitu ketika era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Ketika itu penjawat awam menyaksikan kenaikan gaji sehingga 35 peratus, peningkatan gaji yang melegakan mereka. Kemudian gaji minimum sektor itu meningkat daripada RM800 kepada RM1,200.

Sekarang kadar pendapatan garis kemiskinan sudah naik kepada RM2,208, jadi bagaimana menghadapi pendapatan dengan perbelanjaan yang jauh berbeza. Justeru kenaikan gaji 30 hingga 50 peratus melibatkan pelbagai golongan pekerja harus segera dilakukan bagi meningkatkan motivasi penjawat awam untuk berkhidmat bagi menjayakan polisi kerajaan semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri melihat isu kos sara hidup rakyat termasuk kakitangan awam sebagai keutamaan pentadbiran beliau. Apa pandangan saudara?

Alhamdulillah, Perdana Menteri prihatin dengan masalah hidup rakyat yang tertekan akibat kenaikan kos sara hidup yang tidak seiring dengan kenaikan pendapatan. Bagi saya sebagai pihak pemimpin kesatuan sekerja, saya amat memerlukan kepedulian penjawat awam, sokongan kerajaan untuk memastikan penjawat awam tidak terus tertekan dengan kenaikan harga barang makanan.

Difahamkan Cuepacs akan adakan pemilihan untuk 2022-2025 dan tuan bertanding jawatan Presiden, apakah reformasi yang ingin dilakukan?

Perjuangan menuntut kenaikan gaji tersebut tetap diteruskan dengan tegas dan konsisten jika saya diamanahkan oleh perwakilan memikul jawatan Presiden. Saya juga ingin melihat Cuepacs terus berperanan pembawa suara penjawat awam dengan amalan tegas dan berprinsip kepada pihak pentadbiran tertinggi Kerajaan Persekutuan, sehingga ada suatu tuntutan yang muktamad untuk penjawat awam.

Selain mewujudkan hubungan harmoni dengan kerajaan, apakah misi lain dalam Cuepacs?

Saya melihat ramai pemimpin muda berkaliber dalam Cuepacs yang boleh diketengahkan. Jika saya dipilih sebagai Presiden, pemimpin-pemimpin muda ini akan saya angkat sebagai pelapis untuk terus meremajakan perjuangan Cuepacs.

Bagaimana bentuk hubungan dengan kerajaan jika terpilih sebagai Presiden?

Kita mahu perbincangan dengan kerajaan dilakukan secara berkala, ini bagi memastikan isu berbangkit diselesai segera secara kolektif. Suara ahli dialu-alukan dalam usaha membangkit semangat pemimpin kesatuan untuk berjuang demi kesejahteraan, kebajikan dan keadilan ahli-ahli khususnya kumpulan pelaksana bahawa suara penjawat awam harus didengari dan dibawa ke atas untuk diperjuangkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya