MELAKA: Para pelabur menjadikan penubuhan pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) berasaskan latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) di negeri ini sebagai rujukan untuk mendapatkan sumber manusia berkemahiran dalam pelbagai sektor industri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kewujudan IPT TVET itu membantu mempersiapkan belia dengan pelbagai kemahiran khusus sebelum memasuki alam pekerjaan.
Menurut beliau, inisiatif yang digerakkan kepemimpinan terdahulu ternyata membuahkan hasil apabila Melaka mampu menyediakan tenaga kerja secukupnya membabitkan golongan belia.
“Giat Mara yang ada di setiap kawasan mampu melahirkan pekerja-pekerja sokongan kepada sektor industri yang ada di lokasi tersebut. Selain itu, Melaka juga memiliki Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara, Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Politeknik Melaka dan kolej-kolej komuniti.
“Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjadi rujukan utama pelabur di Melaka. Kebolehupayaan kerajaan negeri menawarkan bekalan tenaga sumber manusia dalam setiap industri menjadi antara penilaian para pelabur datang ke Melaka,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan lisan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan tambahan dikemukakan Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) mengenai peluang pekerjaan belia di negeri ini.
Tambah Ab. Rauf, pelabur kini tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing kerana kualiti tenaga kerja yang ada pada rakyat tempatan.
Katanya, terdapat sebuah syarikat yang mempunyai kira-kira 11,500 pekerja yang menjalankan perniagaan selama 24 jam, namun tenaga kerja asingnya hanya 500 orang. – UTUSAN