PETALING JAYA: Kumpulan Inteam masih utuh mengukuhkan jenama di persada antarabangsa apabila dijemput mengadakan persembahan secara fizikal di Reviving Islamic Spirit (RIS) di Kanada, minggu depan.
Ia adalah kali ketiga kumpulan nasyid tersebut menerima undangan daripada pihak penganjur untuk membuat persembahan di negara yang terletak di Amerika Utara itu.
Bagi ahlinya, Muhammad Hazamin Harun, jemputan tersebut bagaikan mimpi yang menjadi kenyataan kerana dapat mengadakan persembahan yang turut melibatkan penganjur dari Amerika Syarikat.
“Alhamdulillah, kami sungguh tidak sangka respons mereka sangat positif dan menyukai persembahan kami sebelum ini. Kalau ditambah dengan persembahan secara dalam talian semasa pandemik Covid-19, ini adalah kali kelima kami kami menerima jemputan mereka.
“Siapa sangka qasidah dan selawat yang sering kami persembahkan pada majlis di Malaysia menjadi wasilah buat kami melebarkan sayap ke persada antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, kumpulan yang popular dengan lagu Nur Kasih ini turut memaklumkan akan menuju ke Boston, Amerika Syarikat melibatkan program bersama komuniti Malaysia dan Indonesia di sana.
Pada masa sama, Hazamin berharap orang ramai mendoakan perjalanan mereka ke benua negara terbabit berjalan lancar.
Meninjau ruangan komen berdasarkan persembahan Inteam di Kanada sebelum ini, ramai penonton begitu teruja dengan persembahan yang ditampilkan.
Seorang warga Kanada berkata, dia begitu terpesona dengan alunan zikir yang dilantunkan kesemua vokalis kumpulan itu.
“Inteam sangat menakjubkan, hanya dengan mendengar puji-pujian kepada Nabi Muhammad SAW membangunkan hati dan mengingatkan kita kepada Rasulullah SAW,” katanya.
“Persembahan sangat hebat dan suara harmoni sangat bagus. Susunan muzik pula indah dan sedap didengar. Terima kasih kerana sudi ke sini dan bersyukur dengan kehadiran kalian di Toronto. Semoga dapat berjumpa lagi tahun depan,” kata penonton lain.