Insiden fun fair: MPKS perlu lebih tegas laksana penguatkuasaan - Utusan Malaysia

Insiden fun fair: MPKS perlu lebih tegas laksana penguatkuasaan

Fun fair MPKS
DZULKEFLY Ahmad (kanan) ketika meninjau fun fair itu bersama pegawai JKKP di Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor, Selangor. -UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) diingatkan supaya lebih tegas memastikan keberkesanan prosedur penguatkuasaan bagi mengelak insiden ‘fun fair’ di Bandar Puncak Alam di sini, kembali berulang.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, beliau yakin aspek prosedur kelulusan sentiasa dikemaskini oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Katanya, penganjur fun fair yang tidak diberikan kelulusan itu telah beroperasi dan dibuka kepada orang awam selama tiga hari sebelum kejadian Isnin lalu.

“Malah, laporan yang saya terima mendapati tapak itu telah disiapkan seawal dua minggu sebelum pembukaan rasminya. Justeru, saya ingin menegaskan semua pihak terutama MPKS  memastikan penguatkuasaan prosedur dijalankan dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegas Dzulkefly, kejadian tragis melibatkan keselamatan dan nyawa itu ternyata amat dikesali.

“Saya yakin insiden itu dapat dielak sekiranya wujud pemantauan ketat yang dibuat sejak awal. Semua pihak perlu sentiasa bekerjasama dengan membangunkan  kemudahan fasiliti, kesejahteraan dan peningkatan keselamatannya,” ujarnya.

Tambah beliau, pihak penganjur juga harus bertanggungjawab atas apa yang telah menimpa ke atas semua mangsa yang cedera.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan pengusaha ‘fun fair’ yang mengakibatkan tiga cedera itu dikesan berdegil beroperasi biarpun arahan sitaan dikeluarkan MPKS sebelum ini.

Sitaan itu dijalankan pada 29 November lalu selepas permit operasi tidak diluluskan namun ia masih beroperasi secara haram dan tanpa kebenaran Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

MPKS turut menyerahkan notis kompaun kepada pengusaha fun fair itu mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995.

Terdahulu, suasana di fun fair itu gempar apabila tiga individu termasuk kanak-kanak cedera dalam insiden terjatuh daripada permainan ‘Sotong Ride’, kira-kira pukul 8.50 malam. Kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya