KUALA SELANGOR: Suasana di sebuah pesta ria atau fun fair di Bandar Puncak Alam di sini, gempar apabila tiga individu termasuk kanak-kanak cedera selepas terjatuh daripada salah satu permainan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.50 malam.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa melibatkan seorang kanak-kanak dan dua wanita.
“Berdasarkan maklumat awal, kesemua mangsa berada di atas permainan ‘sotong ride’ yang sedang bergerak sebelum terjatuh. Siasatan menyeluruh mengenai kejadian itu bagaimanapun masih dijalankan termasuk mengenal pasti identiti mangsa terlibat,” katanya, malam tadi.
Jelas Ramli, kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut sementara pesta ria itu diarah tutup serta merta bagi siasatan lanjut.
“Arahan itu dikeluarkan selepas polis turut berbincang dengan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS). Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 6 Enekmen Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 kerana beroperasi tanpa lesen,” jelasnya.
Terdahulu, beberapa video dan gambar tular di laman sosial memaparkan permainan itu yang pada awalnya berjalan dengan lancar.
Namun, keadaan bertukar sebaliknya apabila permainan itu dikatakan hilang kawalan sehingga menyebabkan mangsa terjatuh.
Pada November tahun lalu, akhbar ini melaporkan sebuah tapak fun fair berhampiran Aeon Jusco Cheras Selatan, Balakong yang mengakibatkan seorang pengunjung maut selepas terjatuh dari buaian berpusing diarah menghentikan operasi dan ditutup sepenuhnya.
Arahan itu dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bagi menjalankan siasatan terperinci mengenai insiden melibatkan dua mangsa terjatuh setinggi kira-kira lapan meter dari buaian berkenaan. – UTUSAN