BAKAT seni yang dimiliki pelakon, Ummi Nazeera diperakui ramai. Risik Pada hati dan terbaharu, Rindu Kasih menjadi fenomena gara-gara lakonan Ummi yang meruntun jiwa penonton.
Lantas ramai yang memuji, bijak sungguh Ummi memilih naskhah. Apakah kriteria utama? Adakah sikap selektif yang dipegang menjadikan setiap karya lakonannya berjaya menambat hati peminat?
Tidak terkecuali, dek lakonannya yang mantap, ramai pula yang dengan sinis meminta pelakon baharu berguru dengan Ummi. Bukan sekadar masuk industri untuk kejar popular. Benarkah?
Jawablah mendapatkan pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama fenomena, Nur Kasih. Apakah rahsianya? Benarkah pelakon baharu semuanya sekadar tempelan semata? Ummi, Jawablah!
J: Ramai yang memuji lakonan Ummi dalam Rindu Kasih dan sebelum ini, Risik Pada Hati. Apa sebanarnya yang Ummi nilai dan lihat sebelum menerima tawaran?
U: Saya akan tengok siapa pengarahnya terlebih dahulu. Kedua, jalan cerita terutama karakter yang saya akan bawa. Selepas itu, baru saya tengok siapa barisan pelakonnya. Saya tak kisah sangat bab itu, okay sahaj.
Cuma saya letakkan beberapa syarat. Tak mahu terlalu intim. Saya sudah berhijrah, isteri orang pula itu. Selagi ada berkat suami ini, saya mahu kerja seikhlasnya.
J: Ramai yang beranggapan apabila seseorang pelakon itu selektif dan memilih karya, dia akan dilabel demand. Apa pendapat Ummi?
U: Itu bukan demand, tetapi sebenarnya saya tak mahu peminat kecewa. Kita perlu memilih karya yang sesuai. Saya sendiri percaya, ada karakter yang tidak sesuai dengan penampilan saya.
Kalau saya tak yakin, lebih baik tolak secara baik. Saya tahu, ramai penerbit atau pengarah juga faham situasi itu. Kita tahu apa yang terbaik untuk diri sendiri. Tidak mahu terlalu mencuba sesuatu yang tidak sesuai untuk kita.
J: Di kala ini, ada yang beranggapan industri seni masih ‘merendahkan’ wanita. Maksudnya wanita sering dilihat lemah dan mengharapkan lelaki untuk bahagia walaupun hidup dalam toxic environment. Komen sedikit tentang tanggapan itu?
U: Sebenarnya kita ada naskhah yang mengangkat perjuangan dan pengorbanan wanita. Tidaklah asyik dihidangkan dengan sisi lemah seorang wanita. Bagi saya, mesej itu penting dalam sesebuah karya.
Wanita sebenarnya boleh hidup bahagia tanpa bergantung kepada sesiapa. Kita perlu gembirakan diri sendiri. Penggiat industri seni juga perlu raikan itu. Tiada istilah merendahkan mana-mana jantina.
J: Bagi ummi sendiri, kehadiran pelakon baharu dalam kalangan instafamous dan influencer membantu industri atau sekadar memenuhi demand industri?
U: Saya sahajakah rasa yang kita kekurangan pelakon? Bagi saya, tidak ada masalah pun mereka mencuba nasib dan mencari rezeki. Tetapi saya lihat mereka cukup yakin, iu adalah perkara yang sangat baik.
Kalau nak tahu, saya ini pemalu. Sangat pemalu. Sejujurnya sampai sekarang masih ada perasaan malu bila berada di hadapan kamera. Tetapi saya pegang kata-kata Datuk Rosyam Nor, kalau malu tak payah jadi pelakon.
Mungkin ada label mereka sebagai kayu, biasalah. Saya sendiri pun kayu juga dulu. Lama-kelamaan kita tahu rentaknya dan mula belajar melalui pengalaman. Gali ilmu lakonan itu.
J: Korek sikit kehidupan peribadi, apa tips kebahagiaan Ummi? Adakah dengan kurang mendedahkan tentang hal peribadi di media sosial? Menjaga privasi?
U: Sudah lima tahun saya dirikan rumah tangga, dikurniakan dua orang cahaya mata. Biasalah, baik gaduh baik gaduh itu. Kadang-kadang kita pun stress. Rujuk dengan orang tua, mereka banyak pengalaman.
Macam saya bekerja, pastikan suami sokong dan reda. Dia tidak membantah. Bila suami okay, kita pun senang dan tenang keluar kerja. Tahu batas dan jaga diri sendiri. Privasi itu penting. Tidak semestinya kita selebriti, semua perkara perlu ditayang dicanang.