Industri hiburan perlu anjakan

Industri hiburan perlu anjakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHUN 2022 yang bakal dilabuhkan meninggalkan pelbagai catatan untuk dikenang penggiat seni.

Tempoh 12 bulan yang berliku, namun membawa sedikit senyuman kepada penggiatnya apabila berupaya mengatur kembali langkah yang pernah terikat.

Selepas dua tahun bergelut pelbagai kekangan, malah antara sektor paling terkesan disebabkan pandemik, industri kreatif kembali bernafas.

Bukan perjalanan mudah untuk mendepani era pasca pandemik, terutama apabila terpaksa meninggalkan keselesaan yang sudah sebati, selain perlu pantas serta agresif beradaptasi dengan norma baharu dalam usaha menjana semula pendapatan.

Dalam usaha pemulihan, penggiat industri kreatif tidak dibiarkan terkontang-kanting apabila pelbagai insentif diperuntukkan kerajaan untuk mengaktifkan dan memperkasakan semula industri hiburan.

Peranan industri kreatif tidak wajar dipandang ringan, malah pembabitan kerajaan dalam usaha pemulihan mampu menggerakkan potensi penggiat seni untuk mencapai tahap terbaik.

Bantuan dan sokongan kerajaan juga menjadi pemacu kepada penggiat seni untuk berkarya dengan lebih kreatif, seterusnya mampu menjana pendapatan negara.

Lihat bagaimana usaha kerajaan Korea Selatan yang membuat pelaburan besar sehingga berjaya menghasilkan budaya popular bertaraf dunia.

Menerusi produk seni seperti lagu dan drama, mereka mencipta pengaruh besar di dunia. Mereka kini boleh mendabik dada dengan pencapaian kumpulan K-pop, BTS, siri popular seperti Squid Game dan filem Parasite menakluk dunia.

Menyentuh perkara ini, penggiat kita juga tidak kekurangan dari aspek bakat dan kreativiti, cuma platform ke arah itu perlu diperkemaskan dengan bantuan semua pihak.

Dalam hal ini, masyarakat juga perlu bersikap lebih terbuka dan tidak lagi melihat hiburan dari sudut negatif serta melalaikan.

Untuk melakukan perubahan atau anjakan, semua pihak perlu memainkan peranan, termasuk audiens. Perkara pertama perlu dilakukan adalah berbangga dengan naskhah yang dihasilkan.

Bagaikan sudah terpasak di minda persepsi stereotaip audiens, sedangkan realitinya naskhah kita juga semakin berkualiti dan setanding produksi luar.

Semangat nasionaloisme, bangga dengan budaya dan bangsa sendiri perlu ditanam kukuh dalam diri masyarakat kerana kita juga berpotensi menerjah
pasaran luar.

Sepanjang 2022, kita mampu berbangga dengan pencapaian cemerlang filem arahan Syamsul Yusof, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang melakar sejarah baharu dalam industri perfileman tempatan.

Pencapaian itu membuka ruang untuk pengkarya mencabar diri dengan menghasilkan lebih banyak karya yang memberikan impak.

Memasuki 2023, anjakan perlu dilakukan supaya industri hiburan dapat terus diperkasakan. Perubahan juga perlu disegerakan supaya segala isu dapat ditangani dengan efektif dan menyeluruh.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya