HULU TERENGGANU: Keputusan kerajaan mengimport telur ayam bukan solusi penyelesaian jangka masa panjang yang efisyen dalam usaha menyelesaikan masalah kekurangan telur di pasaran.
Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, langkah itu hanya akan membebankan pengguna kerana harga telur import lebih mahal berbanding telur ayam tempatan.
“Cadangan untuk import telur ayam ini pernah dilontarkan dulu. Namun, apabila dikaji pelbagai aspek dan implikasi termasuk dari segi harga ia tidak dilaksanakan kerajaan terdahulu kerana kurang praktikal.
“Idea import telur bukan solusinya. Langkah ini tidak akan dapat atasi masalah kekurangan telur bagi jangka masa panjang sebaliknya hanya akan bebankan pengguna.
“Sekiranya kerajaan hari ini punyai idea lebih baik dalam usaha atasi masalah kekurangan telur di pasaran, kita alu-alukan demi untuk kepentingan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Misi Bantuan Banjir Negeri Terengganu Skuad Prihatin Bersatu di Madrasatul Quran Sahabat di Kampung Bukit Biah, di sini, hari ini.
Rosol yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, kawalan harga telur ayam terlalu lama dilaksanakan hingga menjadi punca pengeluaran bahan mentah itu terjejas antara alasan diberikan pemain industri sebelum ini.
Katanya lagi, Malaysia merupakan negara eksport telur bukannya import dan kerajaan perlu meneliti pengeluaran dan permintaan tempatan bagi memastikan telur sentiasa mencukupi di pasaran. -UTUSAN