PORT DICKSON: Impian untuk menyertai pasukan tentera dan berkhidmat mempertahankan negara menjadi realiti buat pemuda suku kaum Dusun, Binun Jubi, 21, selepas dia berjaya menamatkan latihan sebagai Perajurit Muda Tentera Darat hari ini.
Dia yang berasal dari Kota Marudu, Sabah itu malahan turut terpilih menerima anugerah Perajurit Muda Lelaki Jasmani Terbaik pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Tentera Darat Siri 195/22 yang berlangsung di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini.
“Saya sebelum ini hanya bekerja kampung dan membantu bapa bercucuk tanam serta menanam buah durian dan langsat.
“Memang menjadi cita- cita saya untuk menjadi seorang perajurit dan berkhidmat untuk negara selain membanggakan keluarga dengan menyertai pasukan tentera.
“Keluarga tidak dapat hadir menyaksikan saya menamatkan latihan hari ini kerana bapa mengalami penyakit angin ahmar namun saya tetap gembira dan bersyukur kerana impian saya sejak kecil untuk menjadi seorang tentera berjaya dicapai” katanya kepada pemberita di sini.
Anugerah tersebut yang disampaikan sendiri oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain.
Mengulas mengenai anugerah yang diterimanya itu, Binun memberitahu, dia memang memang merupakan seorang atlet olahraga sebelum ini dan pernah mewakili negeri Sabah dalam kejohanan kebangsaan.
“Saya memang aktif menyertai acara olahraga sejak di bangku sekolah selain kerap terlibat dalam aktiviti merentas desa.
“Anugerah yang saya terima ini bermakna kerana sememangnya saya sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan tahap kecergasan fizikal dan mental saya pada tahap terbaik untuk bergelar seorang anggota tentera,” katanya lagi.
Sementara itu, seramai 82 orang perajurit muda dari suku kaum Dusun menjadikan mereka kumpulan suku kaum teramai daripada keseluruhan 295 orang perajurit muda dari negeri Sabah yang telah menamatkan latihan ketenteraan mereka hari ini.
Perajurit muda dari negeri Sabah merupakan ketiga paling ramai yang menamatkan latihan bagi siri kali ini selepas perajurit muda dari Kelantan (470 orang) dan Kedah (324 orang).
Seramai 2,417 orang perajurit muda berjaya menjalani latihan asas ketenteraan meliputi antaranya aspek pembinaan karakter, pengetahuan am ketenteraan, pengendalian senjata, latihan jasmani dan kemahiran perang sejak 10 Jun lalu. – UTUSAN










