‘Ibu dah tiada, kakak nak tinggal dengan Opah’

‘Ibu dah tiada, kakak nak tinggal dengan Opah’

SEORANG ahli keluarga tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Koh-Segari di Manjung, mengucup jenazah mangsa di Jabatan Forensik Hospital Seri Manjung, Lumut, Perak. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: “Opah, nanti boleh kakak dan abang tinggal dengan Opah sebab ibu sudah meninggal.”

Itu kata-kata Nur Aisyah Umairah Mohamad Adam, 6, kepada Ropitah Din, 53, ketika neneknya itu melawat kanak-kanak tersebut di Hospital Seri Manjung (HSM) semalam.

Nur Aisyah Umairah yang menggelar dirinya ‘kakak’ dan adiknya, Mohamad Hakimi Amsyar, 4, yang mesra dengan panggilan ‘abang’ adalah anak kepada pasangan Mohamad Adam Che Embi, 33, dan Nurhamizza Hamdan, 32, yang terkorban dalam kemalangan jalan raya kelmarin.

Anak bongsu pasangan itu, Mohamad Aisy Hakim turut maut dalam nahas melibatkan dua kereta di Jalan Kampung Koh-Segari dekat Jambatan Bainun, dekat sini itu.

Nur Aisyah Umairah dan Mohamad Hakimi Amsyar yang terselamat dalam kejadian berkenaan mengalami kecederaan di dada dan dahi kini menerima rawatan lanjut di HSM.

ROPITAH DIN

Ropitah, ibu kepada Nurhamizza, pada mulanya tidak sampai hati memberitahu pemergian ibu bapa dan adik bongsu mereka ketika melawat dua cucunya itu di HSM.

“Tetapi tidak sangka Nur Aisyah Umairah telah mengetahui kematian ibunya ketika berada di lokasi kejadian dan sempat bertanya kepada orang yang menyelamatkan mereka, ‘ibu sudah meninggalkan?’

“Dia kemudian mengatakan kepada mak cik, nanti Opah hantarlah kakak dan abang (bersekolah) di sekolah lama ibu, kakak mahu mengaji, ada ke ustazah?,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik HSM di sini, semalam.

Menurutnya, sudah tentu dia dan suami, Hamdan Hamdi, 63, akan menjaga dan membawa dua cucunya itu ke rumah mereka di Pengkalan Bharu, Pantai Remis, apabila dibenarkan keluar dari HSM nanti.

Katanya, sebelum kemalangan itu, mereka lima sekeluarga singgah di rumah besannya, Salamiah Abd. Manan,63, di Kampung Permatang Aceh, Pantai Remis, kemudian ke rumah keluarga angkat mereka di Lenggong, sebelum singgah di rumahnya.

“Mereka nampak biasa sahaja, tiada apa-apa perubahan. Cuma sebelum balik mereka ada memohon maaf dan menantu saya yang bekerja sebagai juruteknik di Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah TNB Janamanjung, meminta agar mendoakannya yang akan menghadiri temuduga kenaikan pangkat pada Rabu ini.

“Besan saya memberitahu mereka juga melakukan perkara sama ketika pergi ke rumahnya semalam. Saya reda dengan ketentuan Ilahi ini,” ujarnya.

TIGA sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Koh-Segari dekat Manjung, Perak. – MEDIA SOSIAL

Sementara itu, kakak sulung Mohamad Adam, Salmirawati Che Embi, 46, berkata, ibu mereka masih terkejut dengan kejadian itu.

“Ketika mula-mula mendapat berita itu malam tadi, kami tidak percaya kerana baru sahaja berjumpa. Apabila sudah dapat pengesahan daripada polis, barulah kami dapat terima berita ini.

“Mak masih dalam keadaan lemah kerana terkejut dengan pemergian adik bongsu kami daripada enam beradik,” katanya.

Ketiga-tiga jenazah dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Bharu selepas solat zuhur.

Sementara itu, adik Nurhamizza, Harith, 28, berharap kejadian itu dapat ‘membuka mata’ pihak berkuasa terhadap jalan raya di kawasan tersebut yang terletak dekat Jambatan Bainun yang tiada lampu jalan.

Jelasnya, ketika kejadian, keluarga kakaknya itu baru balik dari membeli beberapa barang keperluan untuk jamuan di kawasan perumahan mereka di Residensi Pr1ma@Segari yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Sebelum ini pun sering berlaku kemalangan di lokasi tersebut kerana lampu jalan hanya ada di atas jambatan tetapi gelap di laluan selepas jambatan itu menghala ke Segari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya