Hidap gangguan saraf, Celine Dion batal konsert jelajah Eropah - Utusan Malaysia

Hidap gangguan saraf, Celine Dion batal konsert jelajah Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi terkenal, Celine Dion mendedahkan, dia berdepan penyakit Stiff Person Syndrome (SPS) iaitu gangguan saraf yang jarang berlaku dengan ciri penyakit autoimun.

Penyanyi berketurunan Perancis-Kanada itu memberitahu 5.2 juta pengikutnya di Instagram, gangguan itu menyebabkan ototnya kejang tidak terkawal.

Katanya, keadaan itu juga menyebabkan dia mengalami kesukaran berjalan dan menyanyi sehingga terpaksa membatalkan perancangan untuk beraksi di United Kingdom dan Eropah, Februari depan.

“Saya sudah lama berhadapan dengan masalah kesihatan. Sukar untuk menghadapi cabaran ini dan bercakap tentang semua yang telah saya lalui,” kata penyanyi berusia 54 tahun itu dalam video penuh emosi.

Penyanyi My Heart Will Go On itu berkata, dia telah disahkan menghidap gangguan saraf yang sangat jarang berlaku, baru-baru ini dan penyakit itu menyerang satu dalam sejuta orang.

“Kami masih belajar tentang keadaan yang jarang berlaku ini dan kami tahu ia juga punca kekejangan yang saya alami selama ini.

“Keadaan itu menjejaskan setiap aspek kehidupan seharian dan menyebabkan saya sukar berjalan serta menyanyi seperti biasa.

“Ia sangat menyakitkan apabila terpaksa memaklumkan, saya belum bersedia untuk memulakan semua persembahan jelajah di Eropah pada Februari depan,” katanya.

Terdahulu, Dion membatalkan siri jelajah Amerika Utara yang dijadualkan bermula dari 9 Mac hingga 22 April depan.

Penyanyi itu turut menjadualkan semula konsert musim bunga 2023 kepada 2024 dan membatalkan lapan konsert pada musim panas tahun ini.

Dion bagaimanapun, meyakinkan peminatnya dia mempunyai pasukan perubatan yang hebat untuk membantu keadaannya menjadi lebih baik, selain anak-anaknya sentiasa memberi sokongan dan pertolongan.

“Saya bekerja keras dengan pasukan perubatan setiap hari untuk membina kekuatan beraksi semula, tetapi saya harus mengakui, ia bukan sesuatu yang mudah.

“Saya cuma tahu menyanyi. Ia perkara saya paling suka dan lakukan sepanjang hidup. Saya sangat merindui anda semua.

“Saya rindu berada di atas pentas dan membuat persembahan untuk anda. Saya sentiasa memberi 100 peratus setiap kali membuat persembahan, tetapi keadaan sekarang tidak mengizinkan,” katanya.

Turut berterima kasih kepada peminat atas sokongan mereka, Dion menegaskan, dia tidak mempunyai pilihan, selain menumpukan perhatian pada kesihatannya dan berharap untuk pulih.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya