GEORGE TOWN: Kerajaan disarankan segera menghentikan eksport telur ayam ke negara luar sehingga bekalan telur untuk kegunaan rakyat di negara ini kembali pulih.
Presiden Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia (iMcom), Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, pada masa ini telur ayam dari segi bekalan dan harga untuk kegunaan rakyat masih tidak stabil.
”Kenapa kerajaan masih membenarkan eksport telur ayam sedangkan bekalan untuk rakyat tidak stabil.
”Jadi langkah terbaik pada masa ini adalah hentikan buat sementara eksport telur ayam sehingga harga dan bekalan dapat diseimbangkan dengan keperluan pengguna domestik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan juga perlu melaksanakan harga kawalan ke atas telur ayam memandangkan terdapat peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga telur ketika ini.
”Ada peniaga yang menjual 10 biji telur dengan harga RM8, ramai pengguna sangat terkesan dengan harga telur yang tidak menentu dan tinggi pada masa ini.
”Peniaga yang banyak menggunakan telur juga terkesan apabila telur yang dahulunya boleh diperoleh dengan murah kini menjadi satu barangan yang meningkat harganya,” katanya.
Dalam pada itu, seorang peniaga kek dan pastri, Siti Hajar Arshad berkata, bekalan telur meningkat daripada sekitar RM14 hingga RM17 pada masa ini.
”Bekalan telur di Sungai Dua masih ada, namun harganya menjadi mahal tanpa sebab munasabah.
“Dulu kita boleh dapat telur gred B pada harga RM14, namun sekarangdijual pada harga RM17 sepapan,” katanya.
Tambahnya, agensi penguatkuasaan juga perlu memantau peniaga telur kerana ada di antara mereka didapati mengelirukan pengguna dengan label gred telur yang dijual di kedai masing-masing.
”Sejak akhir-akhir ini saiz telur semakin kecil, saya selalu guna gred B tetapi telur yang saya peroleh lebih kecil saiznya.
”Bila saya timbang semula, telur gred B yang dibeli hanya seberat 50 hingga 55 gram saja, kalau gred B beratnya mesti sekitar 60 hingga 65 gram, jadi terdapat unsur penipuan gred oleh peniaga,” katanya. – UTUSAN