Harimau dahan baham ternakan penduduk - Utusan Malaysia

Harimau dahan baham ternakan penduduk

SEEKOR kambing peliharaan penduduk yang menjadi mangsa serangan harimau dahan di Kampung Lintang, Mukim Belantik, Sik. - UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Lebih 32 ekor kambing dan beberapa ekor lagi haiwan ternakan lain milik penduduk di empat buah kampung di Mukim Belantik, di sini mati dan hilang dipercayai akibat dibaham harimau dahan.

Penduduk Kampung Lintang, Mahayuddin Mat Zain, 41, berkata, sebanyak 13 ekor kambing biri-biri dewasa dalam kandangnya dibaham haiwan pemangsa itu sejak Ogos lalu.

“Ayam pula habis satu reban dibaham harimau yang datang setiap malam, anak-anak kambing juga tidak sempat kira berapa ekor yang ada kerana hilang begitu sahaja dan kerugian saya tanggung hampir RM20,000.

“Setakat ini, kira-kira lima penduduk kampung kehilangan kambing dan haiwan peliharaan lain seperti ayam, itik serta angsa dan jika dihitung keseluruhan penduduk kampung hilang 32 ekor kambing,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, ada juga penduduk yang kehilangan itik dan angsa selain binatang ternakan lain termasuk ayam.

“Pada Mac lalu, Jabatan Perhilitan berjaya menangkap seekor harimau dahan betina setelah dipasang perangkap berhampiran kandang kambing. Kemudian, kejadian sama berulang pada Ogos apabila penduduk mengadu banyak ternakan mereka mati.

“Ada juga penduduk kampung ternampak seekor harimau dahan betina membawa anak-anaknya di pinggir kampung dan saya juga pernah ternampak seekor harimau dahan betina datang ke kandang kambing sekitar pukul 8 malam, beberapa hari lalu,” katanya.

Penduduk Kampung Surau, Mohd. Asrul Abdullah, 42, pula berkata, sebanyak enam ekor kambing yang dipelihara bapanya, Abdullah Husain, 63, turut mati dipercayai dibaham harimau dahan.

“Semalam, seekor lagi kambing mati, mungkin harimau sama yang membaham ternakan di empat buah kampung iaitu Kampung Pinang, Kampung Belantik, Kampung Surau dan Kampung Lintang.

“Ada haiwan ternakan yang mati ditinggalkan begitu sahaja, yang sempat dibawa lari pun ada dan ada juga kambing yang cedera mungkin bergelut untuk melepaskan diri daripada cengkaman harimau tersebut,” katanya.

Tambahnya, laporan telah dibuat kepada Perhilitan Daerah Sik pada bulan lalu, tetapi tiada tindak balas sebelum sekali lagi aduan kepada Perhilitan Kedah namun tetap tiada respons.

“Pagi ini setelah mengadu kepada Ibu Pejabat Perhilitan di Kuala Lumpur, baharu mereka hantar sangkar perangkap untuk menangkap harimau itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya