Geng Tong Gas tumpas, 9 kes pecah premis perniagaan selesai

Geng Tong Gas tumpas, sembilan kes pecah premis perniagaan selesai

WAN Mohd. Zahari Wan Busu (dua dari kanan) menunjukkan tong gas yang dirampas daripada ketiga-tiga suspek 'Geng Tong Gas' yang giat menjalankan kegiatan mencuri tong gas sekitar Kuantan di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis menumpaskan kegiatan sekumpulan penjenayah yang aktif mencuri tong gas sekali gus menyelesaikan sembilan kes pecah premis perniagaan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kumpulan yang dikenali sebagai ‘Geng Tong Gas’ itu dipercayai terbabit dalam kegiatan itu bermula awal Oktober lalu. 

Katanya, pihak polis menerima sembilan laporan polis berkaitan kejadian pecah kedai makan, kedai runcit, kedai dobi serta medan selera dan mencuri tong gas di sekitar kawasan Permatang Badak, Kemunting, Indera Mahkota, Air Putih dan Jalan Beserah.

“Suspek memecah masuk premis-premis perniagaan ini dan memilih tong gas sebagai sasaran untuk dilarikan atau dicuri. 

“Selain kehilangan satu atau dua tong gas, terdapat premis yang mengalami kehilangan sehingga 14 tong gas dalam satu masa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini hari ini.

Wan Mohd. Zahari berkata, antara premis yang mengalami kehilangan tong gas dalam kuantiti yang banyak adalah empat buah kedai dobi layan diri, dua kedai makan, dua kedai runcit dan sebuah medan selera.

“Setiap mangsa mengalami kerugian antara RM140 ke RM2,000 mengikut harga semasa gas bersama tong. Anggaran kerugian keseluruhan bagi kes pecah premis dan curi tong gas in mencecah RM20,000,” katanya.

Tambahnya lagi, bertindak atas hasil risikan, dua lelaki warga tempatan berusia 27 dan 32 tahun ditahan pada 24 Disember lalu sekitar pukul 2.30 pagi di hadapan Bangunan Tabung Haji Jalan Bukit Ubi di sini. 

“Pasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah daerah Kuantan menahan sebuah kereta yang dinaiki suspek dan hasil pemeriksaan menemukan empat tong gas di bahagian tempat duduk belakang serta empat tong gas dan sebatang pemutar skru di bonet kereta.

“Hasil siasatan lanjut terhadap suspek, pada 27 Disember lalu, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 32 tahun serta merampas 42 biji tong gas di sebuah stor di kawasan Perindustrian Semambu.

“Siasatan awal mendedahkan warga asing itu menjalankan aktiviti jual beli tong gas secara haram yang mana dia didapati membeli tong gas dari dua suspek warga tempatan terbabit pada harga RM40 sebelum dijual pula kepada pelanggannya pada harga RM50,” katanya. 

Wan Mohd. Zahari berkata, hasil siasatan lanjut ke atas dua lelaki warga tempatan itu mendapati kedua-dua suspek yang berasal dari Kuantan itu mempunya rekod lampau kesalahan jenayah dan narkotik.

Bagi warga asing berkenaan pula menurutnya, dia bekerja di kawasan perindustrian dan mempunyai dokumen lengkap. 

“Kesemua suspek direman sehingga esok (30 Disember) dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah atau premis dan curi dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menyimpan barangan curi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya