KULIM: Gelombang pembaharuan yang berlaku di seluruh negara terutama di Perlis dan negeri ini yang mahukan Perikatan Nasional (PN) dijangka terus menular di Parlimen Padang Serai.
Bekas pemimpin UMNO yang juga Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, apa jua gerakan oleh pihak lain tidak akan mampu menyekat kemaraan gelombang itu.
Katanya, walaupun rakyat membuat perubahan yang tidak diiringi dengan pentadbiran sebagai kerajaan, namun jumlah kemenangan PN termasuk di Padang Serai perlu ditambah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri selepas ini.
“Saya nak beritahu dalam bahasa mudah hang buat apa pun, gerakan dan perubahan yang dibuat oleh orang Melayu dan orang Islam ini akan terus bergerak.
“Hang nak buat apa pun hang buatlah, mereka tak boleh bertahan tanpa asas sokongan kuat orang Melayu dan bumiputera yang menunjangi negara ini,” katanya ketika ditemui semasa mengiringi calon PN berkempen di pasar malam Sungai Karangan, semalam.
PN menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Datuk Azman Nasrudin sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai yang ditangguh ke 7 Disember ini.
Tambah Shahidan, gabungan itu perlu menang sebanyak mungkin untuk membolehkan perubahan yang lebih besar dilakukan selepas ini.
Sementara itu, ketika ditanya kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa keputusan No DAP, No Anwar hanya untuk menghadapi PRU15, Shahidan berkata, kenyataan itu mengecewakan orang Melayu.
“Saya nak beritahu banyak orang (pemimpin UMNO) dihukum, saya sendiri kena boo pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kerana pada pandangan mereka melawan arus, kita dapati No Anwar dan No DAP adalah dalam PAU.
“Ia kemudian diluluskan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), tidak ada peringkat yang mengatakan bahawa Yes Anwar, Yes DAP dan ini mengecewakan orang UMNO dan orang Melayu yang menyokong UMNO,” katanya.
Tambahnya, kekecewaan dalam kalangan akar umbi UMNO dan orang Melayu itu juga akan membawa kepada sokongan kepada PN yang dilihat wadah terbaik penyatuan ummah. – UTUSAN