Gantung barang niaga punca siling runtuh - Exco

Gantung barang niaga punca siling runtuh – Exco

RAHMAD MARIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sikap para peniaga yang menggantung pelbagai barangan niaga pada struktur siling didakwa menjadi antara punca siling Bazar Kraftangan di Dataran Pahlawan di sini runtuh.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, Bazar Kraftangan yang diuruskan badan pengurusan bersama (JMB) sebelum ini telah mengeluarkan notis larangan berhubung perkara itu, namun tidak diendahkan.

Menurutnya, selain meletakkan bebanan pada siling, siasatan awal juga mendapati, terdapat kebocoran kecil berpunca dari lantai bahagian atas Dataran Pahlawan.

“Kes ini melibatkan siling kapur yang strukturnya tidak terlalu kuat. Selain kebocoran kecil, sikap peniaga yang menggantung barang turut menyebabkan siling runtuh.

“Bazar ini di bawah JMB walaupun Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) ada membuat bayaran lebih RM26,000 sebulan untuk penyelenggaraan. Jadi secara tidak langsung apabila berlakunya runtuhan, kos pembaikan di bawah JMB.

“Jangan gantung-gantung barang. Memang nampak cantik apabila orang lihat, tetapi struktur tidak mampu menahan bebanan berat,” katanya dalam sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Hari ini Utusan Malaysia melaporkan, genap setahun laporan akhbar ini berkenaan masalah yang dihadapi para peniaga Bazar Kraftangan di Dataran Pahlawan yang berdepan masalah saluran pembentungan sejak 17 tahun lalu, semalam tragedi siling runtuh pula menimpa mereka.

Dakwa peniaga, sikap tidak ambil peduli pihak pengurusan terhadap keluhan mereka menjadi punca siling bazar berkenaan tiba-tiba runtuh dalam kejadian kira-kira pukul 10.08 malam tadi.

Runtuhan itu nyaris menimpa seorang pelanggan bersama bayinya yang hanya beberapa saat meninggalkan lokasi nahas, manakala seorang pekerja kedai pula sempat menyelamatkan diri sejurus kejadian.

Tambah Rahmad, lima kedai di sekitar lokasi runtuhan ditutup kepada orang ramai kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini.

Bagaimanapun katanya, bazar yang mempunyai 133 lot itu masih lagi dibuka kerana tidak mahu pendapatan peniaga terjejas.

“Buat masa ini kita tidak isytiharkan kawasan ini sebagai bencana kerana ada 133 unit kedai. Penutupan hanya melibatkan beberapa kedai yang terjejas sahaja.

“Saya akan minta pembaikan dilakukan segera bagi membolehkan peniaga kembali berniaga. Anggaran kos masih belum diketahui kerana kejadian ini masih dalam siasatan Jabatan Kejuruteraan MBMB,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya