JOHOR BAHRU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) melalui Kraftangan Malaysia optimis mencapai sasaran nilai jualan RM7.5 juta menerusi penganjuran Festival Kraf Johor (FJK) 2022.
Ketua Setiausaha Motac, Datuk Saraya Arbi berkata, sasaran FJK 2022 yang berlangsung selama 11 hari itu dapat diterjemahkan menerusi hasil jualan pameran yang disertai lebih 217 usahawan kraf dari seluruh negara.
Menurutnya, acara ini merupakan kali kesembilan sejak festival mula diperkenalkan 2011 dan merupakan acara pameran di bawah satu bumbung atau Marque Event yang dinanti-nantikan masyarakat termasuklah usahawan, penggiat dan pencinta kraf serta pelancong.
“Penganjuran FKJ 2022 berlangsung selama 11 hari bermula 16 Disember sehingga 26 Disember ini.

“Objektif penganjuran FKJ 2022 adalah memberi peluang perniagaan dalam memasarkan produk kraf Malaysia, mempromosi produk usahawan serta mewujudkan kesedaran selain menanam minat pengguna terhadap seni kraf Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian FKJ 2022 di Angsana Mall, di sini hari ini. Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Motac, Mohd. Yusri Mohd. Yusoff serta Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ainu Sham Ramli.
Pada majlis yang sama, Motac turut menganugerahkan Adiguru Kraf kepada penggiat seni iaitu Salbiah Muhi yang menghasilkan Sulaman Keringkam, Crisna Mojupi (Sulaman Pis) dan Emis@Emmilianah Dahun (Sulaman Linangkit).
Dalam pada itu, Saraya berkata, usaha Motac dan Kraftangan Malaysia dalam melestarikan industri kraf membuahkan hasil apabila sehingga 30 November lalu, prestasi nilai jualan kraf keseluruhan berjumlah RM258.5 juta melebihi sasaran RM200 yang ditetapkan.
Katanya, kerajaan pada tahun ini juga memperuntukkan RM6.8 juta baucar pembelian produk kraf sehingga dapat merekodkan nilai jualan produk kraf sebanyak RM26 juta.
Sementara itu, beliau memberitahu, penganjuran festival ini juga dapat memberi limpah manfaat secara langsung kepada rantaian sektor pelancongan tempatan antaranya perkhidmatan perhotelan, penyedia makanan dan minuman, pengangkutan serta agensi pelancongan.
Ujarnya, berdasarkan statistik daripada Lembaga Penggalak Pelancongan Malaysia bagi tempoh Januari sehingga Julai tahun ini seramai 3.2 juta pelancong asing berkunjung ke negara ini. – UTUSAN