Empat daerah di Terengganu berisiko dilanda banjir semula - Utusan Malaysia

Empat daerah di Terengganu berisiko dilanda banjir semula

PENDUDUK meredah jalan yang dinaiki air di Kampung Titian Baru, Marang, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu mengeluarkan notis amaran banjir yang berkemungkinan melanda semula empat daerah mulai malam ini.

Empat daerah tersebut ialah Besut, Dungun, Hulu Terengganu dan Kemaman.

JPS dalam notis itu memberitahu, banjir berisiko melanda semula malam ini berdasarkan ramalan hujan lebat yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Penduduk di empat daerah itu perlu berwaspada kerana banjir boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.

“Notis amaran dikeluarkan supaya penduduk di kawasan yang dijangka banjir lebih berhati-hati serta mematuhi arahan pihak berkuasa dan agensi pengurusan bencana,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kawasan yang berisiko banjir ialah di sekitar lembangan Sungai Besut (Sungai Besut dan Sungai Keruing Ibu) iaitu di Jambatan Keruak, Kampung Bekok, Kampung Cegar Kubur, Kampung Cawangan dan kawasan sekitarnya bermula pukul 9 malam ini.

Turut dijangka mengalami banjir ialah kawasan lembangan Sungai Dungun (Kampung Dendang, Kampung Tepus, Kampung Minda, Kampung Surau, Kuala Jengal dan kawasan sekitar) serta lembangan Sungai Paka (Kampung Luit dan kawasan sekitar).

Berdasarkan kenyataan itu, gelombang banjir juga mungkin melanda di Hulu Terengganu, Dungun dan Besut pada awal pagi iaitu pukul 1 pagi, Khamis.

Antara kawasan dijangka terlibat ialah kawasan berdekatan lembangan Sungai Terengganu iaitu Sungai Berang di Hulu Terengganu melibatkan Kampung Menerong dan kawasan sekitarnya.

Selain itu turut berisiko ialah di Sungai Dungun (Kampung Minda dan kawasan sekitar), Sungai Besut (Kampung La, Rumah Pam Pelangat dan kawasan sekitar, Kampung Nangka, Kampung Paya, Kampung Pinang, Kampung Parit, Kampung Lama, Kampung Pintu Gajah, Kampung Lampu dan Kampung Baru).

Selain itu, beberapa kawasan di lembangan Sungai Kemaman dan Sungai Dungun dijangka dilanda banjir pada pukul 5 petang esok.

Antara kawasan terlibat di Kemaman ialah di Kampung Pasir Gajah dan kawasan sekitar manakala di Dungun melibatkan Kampung Wa, Kampung Pak Riuh dan kawasan sekitar.

Sementara itu, semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di empat daerah itu sejak Jumaat lalu telah ditutup secara rasmi pada pukul 12 tengah hari tadi. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya