SEPANG: Syarikat penerbangan kebangsaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Emirates sudah mula menggunakan semula model pesawat terbesar di dunia, Airbus A380 untuk ke Malaysia susulan lonjakan bilangan penumpang ke negara ini setiap hari.
Menurut Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), ia atas permintaan ramai untuk pengendalian laluan Dubai-Kuala Lumpur bermula 1 Disember lalu bagi model model dua tingkat yang mampu memuatkan jumlah tipikal seramai 525 penumpang.
MAHB berkata, Emirates bakal mengendalikan perkhidmatan penerbangan berjadualnya sebanyak 14 kali setiap minggu ke KLIA di sini dengan menyediakan lebih banyak kapasiti tempat duduk.
Emirates merupakan operator udara yang paling banyak memiliki model berkenaan iaitu 119 unit ketika ini dengan tujuh varian dengan 67 unit daripadanya memiliki kelas premium ekonomi.
Syarikat Emirates Group yang ditubuhkan sejak 1985 dan berpusat di Dubai itu namun masih lagi menggunakan model Boeing 777-300ER untuk operasi ke KLIA ketika jadual hari tertentu.
Bahkan, ia juga merupakan operator yang mempunyai paling banyak pesawat badan lebar itu di dunia iaitu 124 unit dengan lima varian dan kapasiti muatan 400 tempat duduk penumpang.
Ia memiliki sejumlah 262 unit pesawat dari pelbagai model dengan lebih 3,600 penerbangan berjadual meliputi 152 destinasi yang melibatkan sebanyak 80 buah negara di seluruh dunia.
Pada ketika ini, KLIA sudah pun menjadi pilihan bagi sejumlah 49 buah syarikat penerbangan termasuk empat dari kalangan pemain tempatan sendiri dengan paling baharu, MYAirlines.
KLIA yang dibuka pada 1998 lalu bersempena Sukan Komanwel di Kuala Lumpur, diuruskan oleh MAHB serta turut menjadi hab Malaysia Airlines, Air Asia, Batik Air dan UPS Airlines. – UTUSAN