Ekonomi luar bandar perlu perubahan drastik dan radikal - Utusan Malaysia

Ekonomi luar bandar perlu perubahan drastik dan radikal

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi luar bandar masih memperlihatkan kesenjangan amat tinggi berbanding bandar sekali gus memerlukan perubahan drastik dan radikal jika tidak mahu masyarakat desa terus ketinggalan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, lebih membimbangkan apabila kesenjangan itu terus melebar dari tahun demi tahun.

Justeru beliau merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pihaknya akan mengemukakan pelan tindakan dan petunjuk prestasi utama (KPI) kementerian dalam masa terdekat bagi menangani isu tersebut.

“Sesuatu yang drastik dan radikal perlu dilakukan daripada sekarang jika tidak mahu kawasan luar bandar terus ketinggalan. Maka penggal ini, isu kesenjangan, penerokaan potensi ekonomi dan peningkatan taraf hidup luar bandar akan menjadi keutamaan dan fokus saya dalam menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Untuk itu, saya akan menggembleng tenaga dan kudrat kementerian serta agensi-agensinya untuk bersama-sama menyelesaikan segala isu berkaitan desa di Malaysia sepantas yang mungkin,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Ahmad Zahid menjelaskan, berdasarkan data terkini pada 2019, pendapatan menengah isi rumah luar bandar adalah RM3,828 berbanding RM6,561 bagi kawasan bandar.

“Secara perbandingan mudah, bagi setiap RM100 yang diraih penduduk di bandar, penduduk luar bandar hanya mampu meraih sebanyak RM58. Tahun 2019 juga merekodkan kadar kemiskinan yang tinggi di kawasan luar bandar sebanyak 12.4 peratus berbanding kadar kemiskinan keseluruhan Malaysia iaitu 5.6 peratus,” katanya.

Beliau memberitahu, angka-angka statistik ekonomi dan demografi luar bandar Malaysia dilihat agak mencemaskan setelah melihat data penghijrahan penduduk sejak 10 tahun kebelakangan ini iaitu lebih ramai penduduk kawasan bandar berhijrah ke luar bandar berbanding luar bandar ke bandar.

“Pada 2020, angka ini adalah 18.1 peratus penghijrahan penduduk dari bandar ke luar bandar berbanding 3.0 peratus luar bandar ke bandar. Ini adalah angka menggalakkan kerana dengan penghijrahan penduduk kembali ke luar bandar, bermakna pengalaman kerja, kemahiran dan ekonomi lebih inovatif yang diterokai di bandar dapat dibawa ke luar bandar.

“Ini sepatutnya dapat meningkatkan limpahan ekonomi dan peluang di kawasan luar bandar. Tetapi nampaknya tidak. Ekonomi luar bandar tetap memperlihat kesenjangan yang amat tinggi antara kawasan bandar dan luar bandar,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN