KUALA SELANGOR: Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bersedia menjadi sebahagian daripada anggota yang melaksanakan agenda reformasi sektor kesihatan di negara ini.
Beliau menegaskan sentiasa terbuka untuk memberi nasihat dan cadangan terbaik kepada Kementerian Kesihatan (KKM) biarpun tidak dipilih menganggotai Kabinet.
“Saya dan KJ (Khairy Jamaluddin) menyatakan kesediaan untuk membantu namun ia terpulang kepada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
“Selain itu, saya yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengambil kira segala kepentingan, kekangan dan penglibatan untuk membentuk Kabinet terbaiknya,” katanya ketika ditemui pada Program Hari Tanpa Kenderaan MPKS di Pekan Lama Kuala Selangor di sini, hari ini.
Minggu lalu, Dr. Zaliha menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai Menteri Kesihatan dan antara dua pemimpin wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipilih menganggotai barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Semalam, Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni turut diumumkan lantikan sebagai Timbalan Menteri Kesihatan.
Jelas Dzulkefly, pembentukan Kabinet baharu berdasarkan kepada Kerajaan Perpaduan dan bukannya Pakatan Harapan (PH).
“Justeru, semua Ahli Parlimen PH memahami segala kekangan yang dihadapi kerana apa lebih penting kerajaan ini mengangkat prinsip sama dalam menambah baik sistem tadbir urus dan membanteras ketirisan.
“Kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga perlu menangani apa jua perkara yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan budaya,” ujarnya.
Tambah beliau, selain membentuk semangat kedamaian dan saling menghormati, kerajaan bertanggungjawab untuk memajukan semula negara ini. – UTUSAN