Durian ‘bola’ pesaing durian premium - Utusan Malaysia

Durian ‘bola’ pesaing durian premium

RAMLI Mustapha menunjukkan isi buah durian bola di gerai buah-buahan Kampung Damak di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Durian bola yang ditanam pekebun Kampung Damak di sini bakal bersaing dengan durian premium kampung lain apabila mula mendapat perhatian kalangan penggemar raja buah tersebut.

Sejak durian kampung luruh pada awal bulan ini, durian bola kini bersaing dengan baka kampung atau tempatan lain yang sudah terkenal se­perti Damak King, Naga Emas, Mas Hijau, Aji Aziz, Seri Da­mak, Kulit Buaya, Kepala Gajah, Tembaga Damak dan beberapa jenis lain hasil tanaman pekebun di kampung tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengusaha benih durian Kampung Damak, Ahmad Mustapha, 44, berkata, sehingga kini terdapat 20 batang pokok durian bola yang ditanam beberapa pekebun di situ kira-kira 40 tahun lalu dan musim ini, ia berbuah hampir 2,500 biji dan dipasarkan di gerai berdekatan Jalan Jerantut-Benta, Kampung Damak.

“Ia bulat menyebabkan jenis ini mula tersohor dengan panggilan durian bola apabila pekebun dan pembeli bersepakat menjenamakan bentuk ini.

“Tekstur isinya lembut seperti aiskrim, tebal, sedap, manis dan aromanya wangi agak berlainan dengan durian kampung lain. Terdapat lima pangsa dalam sebiji (buah), manakala setiap pangsa me­ngandungi antara tiga hingga empat ulas. Kadang-kadang ditemukan ulas yang besar dalam satu pangsa,” katanya di sini semalam.

Ahmad yang juga pemborong durian berkata, durian bola itu dianggarkan berat antara satu kilogram (kg) hingga tiga kg, manakala ukur lilitnya dianggarkan antara 50 hingga 80 sentimeter.

Menyingkap sejarah asal baka buah itu, dia berkata, ia daripada durian klon D18 yang benihnya diperoleh dan dibawa balik oleh pekebun di situ dari Pulau Pinang dan Johor.

“Benih yang dibawa balik ini kemudiannya mengalami proses cantuman tunas atau mata tunas dengan baka kampung yang lain setelah pokok ini membesar. Ada segelintir pekebun menanam biji klon D18 dan kita tidak nafikan buah ini daripada baka tersebut,” katanya.

Rakannya, Ramli Mustapha, 50, berkata, sejak mula mengeluarkan hasil beberapa musim lalu, durian bola cuma dikenali kebanyakan penggemar durian di Kampung Da­mak sahaja.

“Tetapi kini ia mula dikenali pelanggan dan penggemar luar yang singgah dan menikmati isinya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya