DUN Perak lulus RUU Anti Lompat Parti - Utusan Malaysia

DUN Perak lulus RUU Anti Lompat Parti

SAARANI Mohamad (kanan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan (Bahagian Pertama)(Pindaan) 2022 berkaitan larangan wakil rakyat melompat parti diluluskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sebentar tadi.

Keputusan itu diumumkan Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid selepas proses pengundian RUU dijalankan pada Persidangan DUN Perak di sini hari ini.

Kesemua ADUN yang hadir sebulat suara menyokong pindaan rang undang-undang itu selepas dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad semalam.

Terdahulu, dalam ucapan menggulung berbahasan RUU tersebut, Saarani berkata, RUU itu bukan sahaja melakar sejarah baharu tetapi merupakan permulaan kepada pembaharuan institusi yang lebih menyeluruh demi mengukuhkan demokrasi negara.

Menurutnya, antara implikasi penting RUU itu ialah untuk menghantar isyarat kepada rakyat bahawa sebagai wakil rakyat dan penggubal undang-undang serius untuk menangani amalan lompat parti yang terang-terang membawa ancaman kepada kestabilan politik.

“Walaupun ada kemungkinan perbuatan melompat parti berlaku lagi selepas akta ini diwujudkan, namun saya yakin bahawa usaha-usaha penambahbaikan dari semasa ke semasa akan dapat dilakukan.

“Pada waktu ini, kita berusaha sebaik mungkin untuk mewujudkan akta ini sebagai langkah awal membendung perbuatan melompat parti,” katanya.

Menurut Saarani, akta berkenaan tentunya tidak dapat menyelesaikan masalah secara seratus peratus, namun, ia adalah langkah pertama yang sangat penting untuk menjernihkan sistem amalan demokrasi dalam negara dan negeri.

Saarani bersetuju hujah-hujah yang dilontarkan bahawa akta anti lompat parti akan menguatkan semula kepercayaan rakyat terhadap amalan demokrasi.

Katanya, dalam erti kata lain, ia dapat melindungi hak rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ahli politik ketika proses pilihan raya selain meningkatkan integriti wakil rakyat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di kawasannya.

“Undang-undang ini hanya terpakai kepada ahli secara individu. Jika ahli itu keluar parti maka beliau hilang kerusinya.

“Prinsip larangan wakil rakyat bertukar parti berpegang kepada keahlian mereka dalam suatu parti politik. Justeru, sebarang tindakan suatu parti politik, termasuk keluar dari suatu gabungan dan menyertai gabungan lain tidak dianggap sebagai tindakan bertukar parti,” katanya.

Saarani berkata, apa jua istilah yang dikaitkan dengan perbuatan lompat parti, sama ada ‘party-switching’, ‘defection’, ‘party jumping’ atau ‘floor crossing’, ia bukan sahaja berkisar soal kesetiaan, tetapi turut memberi gambaran buruk rakyat terhadap politik dan orang politik.

Menurutnya, rakyat terutamanya orang muda akan melihat seolah-olah jawatan Ahli Parlimen atau ADUN adalah satu komoditi politik yang boleh ditebus dengan ganjaran atau habuan.

Katanya, implikasinya, masyarakat terbanyak hilang kepercayaan terhadap wakil rakyat mereka pilih, kewibawaan dan kejujuran wakil rakyat juga dipertikaikan.

“Ini secara tidak langsung boleh mematikan kepercayaan rakyat terhadap sistem politik. Natijahnya, rakyat tidak lagi mempunyai kepercayaan untuk terlibat dalam proses pilihan raya.

“Senario ini sedikit sebanyak dapat dilihat apabila peratus rakyat yang keluar mengundi dalam PRK Melaka dan Johor pada tahun 2021 menyaksikan penurunan ketara.

“Keadaan menampakkan pemulihan pada pilihan raya umum lalu, iaitu selepas akta lompat parti sudah diluluskan di peringkat Persekutuan, apabila jumlah pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab telah menunjukkkan peningkatan yang signifikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya