SABAK BERNAM: Tindakan dua nelayan tempatan menggaji RM2,500 kepada warga asing untuk menangkap ikan sejak tiga bulan lalu memakan diri apabila dicekup pihak berkuasa kira-kira 3.2 batu nautika barat baya Sungai Besar di sini, semalam.
Empat lelaki berusia 32 hingga 57 tahun yang menaiki sebuah bot kelas B1 itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, pukul 8.01 pagi.
Pengarahnya, Kapten Maritim V. Siva Kumar berkata, penahanan itu dilakukan ketika pihaknya melakukan rondaan bot dalam Op Ehsan dan OP Benteng Laut di sekitar perairan berkenaan.
Katanya, pemeriksaan dijalankan selepas mendapati bot nelayan tempatan itu dilihat mencurigakan dan dipercayai sedang menangkap ikan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot dikendalikan dua lelaki tempatan itu membawa dua warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri sah.
“Selain itu, mereka melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Siva Kumar, bot dan semua lelaki itu dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah bagi tindakan lanjut.
“Kes itu disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63. APMM memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan di laut dan akan terus melakukan rondaan di perairan,” tegasnya. – UTUSAN