KLANG: Tindakan dua nelayan membawa makanan ikan menggunakan bot yang tamat tempoh lesen mengundang padah apabila ditahan kira-kira 0.5 batu nautika perairan Pelabuhan Utara di sini, semalam.
Lelaki tempatan dan warga asing berusia 58 serta 32 tahun itu diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pukul 10.15 pagi ketika dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang ke Pulau Ketam.
Pengarah APMM Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, penahanan itu dilakukan ketika pihaknya melakukan rondaan rutin Op Ehsan dan Benteng Laut di perairan tersebut.
“Pemeriksaan mendapati seorang tekong tempatan dan warga Indonesia yang mengendalikan bot mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Namun, lesen bot berkenaan didapati sudah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Siva Kumar, bot dan semua lelaki itu dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah bagi tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot tidak memiliki dokumen lesen sah.
“APMM memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan di laut dan akan terus melakukan rondaan di perairan,” ujarnya. – UTUSAN