Dua lelaki cedera diserang tiga ekor anjing - Utusan Malaysia

Dua lelaki cedera diserang tiga ekor anjing

SALAH seorang mangsa serangan anjing di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil di Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Dua lelaki cedera akibat diserang tiga ekor anjing termasuk baka Rottweiler di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, kejadian pada pukul 7 pagi itu berlaku selepas haiwan tersebut dipercayai terlepas daripada kurungan.

“Hasil siasatan mendapati, dua mangsa diserang tiga ekor anjing yang terlepas daripada jagaan pemiliknya yang tinggal berhampiran tempat kejadian.

“Pemilik haiwan tersebut dikatakan cuba menghentikan serangan anjing-anjingnya itu terhadap mangsa,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pemilik anjing mendakwa kejadian berlaku ketika isterinya baru selesai bersenam dan ingin masuk ke dalam kawasan rumah yang berpagar automatik.

“Dalam masa sama, isterinya ternampak tiga ekor anjing meluru keluar dari rumah dan dia juga bertindak mengejar anjing itu sebelum haiwan itu menyerang kedua-dua mangsa.

“Akibat daripada serangan tersebut, dua mangsa terlibat mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan sebuah hospital swasta di Sungai Petani, dekat sini untuk rawatan,” ujarnya.

Tambahnya, seekor anjing adalah jenis biasa dan tinggal bersama dengan mereka kira-kira 10 tahun lalu, manakala dua ekor lagi anjing jenis Rottweiler.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan dan Jabatan Veterinar telah dimaklumkan untuk melakukan tangkapan ke atas tiga ekor anjing itu,” katanya.

Difahamkan, beberapa orang telah cedera akibat serangan daripada anjing yang sama sebelum ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya