LANGKAWI: Kegembiraan tiga pelancong lelaki melakukan aktiviti pantai berakhir tragedi apabila dua daripadanya ditemukan lemas di Pantai Chenang, di sini, malam tadi.
Mayat dua mangsa yang juga adik-beradik, R. Juwaras, 22, dan abangnya, R. Ravishangkar, 26, ditemukan tidak jauh dari lokasi mereka dilaporkan hilang, petang semalam.
Sementara itu, seorang lagi mangsa berusia 26 tahun berjaya diselamatkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam kejadian pada pukul 7.38 malam itu.
Ketua Bomba Zon Langkawi, Penguasa Bomba Mohd. Zamri Abdul Ghani berkata, mangsa pertama yang berusia 22 tahun ditemukan di pesisir pantai iaitu kira-kira satu kilometer dari Dataran Chenang, di sini pada pukul 8.40 malam.
“Mangsa kedua berusia 26 tahun pula ditemukan tidak jauh daripada lokasi mangsa pertama pada pukul 12.40 tengah malam tadi.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sementara operasi ditamatkan pada pukul 1.40 pagi tadi.
Dalam kejadian itu, bomba menerima panggilan mengenai kejadian tersebut sebelum sebuah jentera penyelamat bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dikerahkan ke lokasi.
Terdapat tiga mangsa terlibat dalam kejadian itu, namun seorang daripadanya berjaya diselamatkan, manakala operasi mencari dua lagi mangsa diteruskan serta-merta melibatkan pasukan penyelamat. –UTUSAN