BUTTERWORTH: Seorang usahawan merayu waris seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang ditinggalkan tanpa sebarang dokumen kepada keluarganya di Bukit Mertajam, dekat sini tampil bagi menyelesaikan isu melibatkan kanak-kanak terbabit.
Mohd. Fahmi Ismail, 48, yang kini bapa angkat kepada Nur Iman Madiha berkata, kanak-kanak tersebut ditinggalkan bapanya dengan alasan mahu pulang sementara ke Indonesia untuk membawa isterinya (ibu Nur Iman Madiha) berubat atas masalah kesihatan enam tahun lalu.
Sehubungan itu katanya, dia menjaga Nur Iman Madiha yang ketika ditinggalkan bapanya yang juga pekerja di syarikatnya hanya berusia sembilan hari.
“Saya kini buntu dengan masalah yang dihadapi Nur Iman Madiha apabila tidak dapat mendaftarkannya memasuki sekolah tahun depan kerana dia tidak mempunyai sijil kelahiran selepas ditinggalkan ibu bapanya,” katanya kepada pemberita di sini, baru-baru ini.
Menurut Mohd. Fahmi, pelbagai usaha telah dilakukan antaranya mendapatkan sijil kelahiran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), namun proses itu tidak dapat dilaksanakan.
Ini kerana ujarnya, agensi itu tetap memerlukan waris kanak-kanak berkenaan tampil memandangkan tiada dokumen sokongan pada anak angkatnya.
“Sudah beberapa kali saya ke JPN untuk urusan ini dan membuat laporan polis termasuk dokumen pengambilan anak angkat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi mereka tetap mahu waris Nur Iman Madiha tampil.
“Pada masa sama, pelbagai cara saya lakukan untuk mencari bapanya, namun gagal. Untuk cari di Indonesia agak sukar kerana saya tidak tahu lokasi sebenar ibu dan bapanya, hanya tahu mereka berasal dari Jawa dan Medan,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd. Fahmi berharap pihak berkaitan dapat membantu memudahkan urusan anak angkatnya yang akan memasuki Tahun Satu tahun depan.
“Ketika ini, Nur Iman Madiha mendapatkan pendidikan awal di tadika swasta, jadi tidak sulit tetapi untuk meneruskan pendidikan.
“Saya harap ada sinar untuknya kerana mahu dia mendapat pendidikan sempurna sama seperti kanak-kanak lain termasuk berjaya sehingga ke universiti kelak,” katanya. – UTUSAN