Dewan Rakyat lulus mini bajet

Dewan Rakyat lulus mini bajet

ANWAR Ibrahim ketika membentangkan peruntukan khas (bajet mini) sempena Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini. - FOTO/IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat, hari ini.

Ia setelah RUU berkenaan dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiada perbahasan bagi kedua-dua usul yang dibentangkan Perdana Menteri pada mesyuarat pertama Majlis Parlimen Ke-15.

Keputusan itu kemudiannya dimaklumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan bajet mini bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan membabitkan wang bernilai RM107,718,676,650.

Beliau membentangkan peruntukan itu di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari depan.

Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dan usul anggaran perbelanjaan pembangunan sementara 2023, Anwar berkata, tanpa kelulusan bajet sementara itu, kerajaan tidak dapat berfungsi.

Selain itu, katanya, perkhidmatan asas seperti bekalan ubat di hospital, pemberian makanan di sekolah, bantuan kebajikan serta pelbagai bantuan lain juga tidak dapat disediakan.

Tambahnya, beliau akan membentangkan semula Bajet 2023 pada Februari depan. 

“Sudah tentu Kerajaan Perpaduan akan membentangkan Belanjawan 2023 yang lebih baik dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat dan memperkukuh prestasi ekonomi,” katanya.

24 November lalu, Anwar memaklumkan bahawa kerajaan akan membentang RUU bajet mini pada pembukaan sidang pertama Parlimen Ke-15, meluluskan emolumen berkaitan belanja mengurus kerajaan, khususnya gaji penjawat awam.

Katanya, kelulusan emolumen itu penting bagi memastikan tiada kebimbangan dalam kalangan penjawat awam berhubung gaji, berikutan Bajet 2023 masih belum diluluskan

Selepas kelulusan RUU itu katanya, kerajaan dijangka membentangkan belanjawan susulan yang menyeluruh, kira-kira sebulan selepas sidang Parlimen berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya