PETALING JAYA: Bekas Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan parti itu tidak pernah membenci, takut atau mempunyai apa-apa prejudis terhadap agama mahu pun orang Islam.
Kit Siang berkata, dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kononnya DAP menyebarkan Islamofobia adalah fitnah dan penipuan semata-mata.
Katanya, sejak 1969, parti berkenaan sudah meletakkan calon Melayu untuk bertanding, malah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tiga ahli Parlimennya daripada kaum berkenaan iaitu Syahredzan Johan (Bangi), Young Syefura Othman (Bentong) dan Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera).
“Kita juga ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melayu di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Perak dan Pulau Pinang. Jadi bagaimana Abdul Hadi boleh menuduh DAP mempromosikan Islamofobia?
“Malah, semasa bergelar ahli Parlimen, saya melawat Mesir, Jordan, Turkiye, dan Indonesia untuk berjumpa dengan pemimpin Islam di samping mempelajari Islam yang saya lihat sebagai salah satu agama hebat dunia,” katanya dalam kenyataan di blognya di sini hari ini.
Baru-baru ini, Abdul Hadi mendakwa DAP bukan sahaja menyebarkan Islamofobia tetapi berterusan melemparkan pelbagai serangan fitnah dan memburukkan imej parti berteraskan Islam itu.
Katanya, tindakan menyerang Pas adalah susulan kejayaan parti itu mencapai jumlah kerusi tertinggi pada PRU15 berbanding parti lain.
Kit Siang berkata, tindakannya mencabar Abdul Hadi mengemukakan bukti atau menarik semua fitnah itu adalah kerana Islamofobia adalah tuduhan berat terutama dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.
Sehubungan itu, beliau mahu amalan politik toksik yang berunsurkan penipuan, fitnah, kebencian, perkauman dan keagamaan yang memecahbelahkan masyarakat dihentikan segera di negara ini bagi memberi tumpuan kepada usaha pemulihan ekonomi negara.
“Kita tidak mahu tanah air tercinta ini menjadi sebuah negara gagal, berpecah-belah dan kleptokratik menjelang ulang tahun ke-100 Malaysia.
“Semasa turun berkempen pada PRU15, saya tidak melihat sentimen anti-Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan, Islam, Buddha, Hindu, atau Kristian di lapangan, malangnya ada parti-parti politik dan watak-watak tertentu yang mahu rakyat Malaysia rasa terancam,” katanya. – UTUSAN