KLUANG: Orang ramai dijemput menghulurkan sumbangan bagi membolehkan sebuah masjid dapat dibina sebagai kegunaan penganut beragama Islam di Bandar Sri Impian dekat sini untuk menjalankan aktiviti keagamaan khususnya untuk menunaikan solat.
Timbalan Pengerusi Pembangunan Masjid Taman Sri Impian, Mohd Sabri Abd Kadir berkata, perancangan sejak lebih 10 tahun itu sehingga kini hanya mampu mengumpul hampir RM3 juta sedangkan kos yang diperlukan adalah sebanyak kira-kira RM7 juta.
Katanya, tanah seluas kira-kira 4.04686 hektar yang disumbangkan oleh Koperasi Kemajuan Tanah Negeri Johor (Kopketa) sudah bersedia untuk dibangunkan dan hanya kosnya sahaja yang belum mencukupi.
“Oleh yang demikian kami amat berterima kasih kepada orang ramai yang sudi untuk sama-sama menyumbang bagi merealisasikan pembinaan masjid ini.
” Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan terus ke akaun Bank Islam (01-050-01-003390-5) dan berharap ia cukup tidak lama lagi,”katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Mohb Sabri pihaknya juga belum menerima sebarang bantuan daripada kerajaan negeri atau pusat menyebabkan perancangan pembinaan masjid ini tidak dapat dilaksanakan.
Ujarnya lagi, ada juga penyumbang berskala besar bertanya tentang status pembinaan masjid ini dan mereka memahami apabila diterangkan keadaan sebenar yang berlaku.
“Diharapkan lebih ramai lagi yang sudi untuk menyumbang agar masjid yang dibina nanti dapat dimanfaatkan oleh hampir 10,000 orang yang tinggal di taman perumahan ini.
“Pada masa ini, kami hanya menggunakan dua buah surau yang dinaik taraf sebagai masjid sebagai pusat kegiatan keagamaan dan ianya hanya mampu menampung kegunaan sekitar 800 orang jemaah sahaja,” Katanya. –UTUSAN