Cuti sekolah, banjir punca harga naik mendadak

Cuti sekolah, banjir punca harga naik mendadak

tomato
SEORANG peniaga menyusun sayur di Pasar Besar, Klang. Harga bahan mentah seperti sayur, ikan dan ayam melonjak kerana faktor cuaca dan permintaan tinggi ekoran musim cuti sekolah. – FOTO/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Faktor cuaca dan cuti persekolahan menyebabkan harga ayam dan beberapa jenis sayur naik mendadak lebih sekali ganda minggu ini.

Tinjauan Utusan Malaysia men­dapati harga ayam yang dijual RM9.50 sekilogram (kg) minggu lalu naik RM1 kepada RM10.50 minggu ini manakala sayur jenis daun sup naik daripada RM10 kepada RM21 kg.

Peniaga ayam segar, Ahmad Ibni Hasan berkata, pihak pembekal dan pemborong menjadikan faktor cuaca sebagai alasan terpaksa menaikkan harga ayam berbanding sebelum ini.

Menurutnya, harga dijangka terus melambung susulan permintaan yang tinggi ketika cuti sekolah namun bekalan ayam masih tidak menentu.

“Sejak bulan lalu sambutan kurang memberangsangkan walaupun harga sudah diturunkan sehingga RM8.50 kg sebelum naik secara berperingkat kepada RM9.50 dan semalam RM10.50 kg.

“Pembekal memberitahu penternak rugi selepas ratusan ekor ayam mati kerana banjir dan terpaksa menaikkan harga bermula minggu ini gara-gara bekalan masih belum stabil.

“Lazimnya orang ramai akan mengadakan kenduri-kendara ketika cuti sekolah ini dan saya jangka bukan sahaja harga ayam segar bahkan sayur, hasil laut dan bahan asas lain juga akan naik,” jelasnya.

Sementara itu, peniaga sayur di Pasar Batu Enam, Fazuni Abd. Rashid berkata, harga sawi juga mengalami kenaikan daripada RM3 kepada RM7 kg bermula minggu ini.

Selain itu, menurutnya, timun hijau meningkat daripada RM3 kepada RM7 kg, daun sup daripada RM10 kepada RM21 kg dan daun bawang daripada RM10 kepada RM15 kg.

“Seperti setiap tahun, harga sayur pada Disember dijangka naik ketika bekalan kurang di­sebabkan cuaca dan permintaan tinggi kerana ramai nak buat kenduri,” jelasnya.

Menurut peniaga ikan, Zaka­ria Abdullah, harga ikan kembong antara yang mula naik berikutan kekurangan bekalan iaitu daripada RM14 kepada RM18 kg.

“Buat masa ini bekalan ikan diterima daripada pembekal dan pemborong dari Kuala Perlis, Johor, Perak dan Tok Bali, Kelantan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya