Cukai taksiran dipotong kurang beban penjawat awam

Cukai taksiran dipotong kurang beban penjawat awam

MOHD. HISAMUDIN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengurangan cukai taksiran sebanyak 30 peratus kepada semua pemilik kediaman berharga bawah RM300,000 di Putrajaya mampu mengurangkan beban kewangan ditanggung terutamanya penjawat awam.

Ahli Dewan Negara, Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya berkata, langkah itu sekali gus membuktikan keprihatinan Kerajaan Perpaduan yang mendengar keluh kesah rakyat terutamanya golongan M40 dan B40 di Pusat Pentadbiran Kerajaan ini kerana kutipan terdahulu sememangnya lebih tinggi berbanding kawasan-kawasan lain.

Kata beliau, ia tentunya memberi kelegaan kepada seramai 8,500 pembeli unit kediaman melibatkan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).

“Kenaikan kos sara hidup yang tinggi sudah pasti menekan kehidupan mereka dan diskaun sebegini sudah pasti ditunggu-tunggu memandangkan krisis ekonomi di seluruh dunia pada tahun 2023 lebih mencabar.

“Ternyata Perdana Menteri tidak menunggu lama untuk membuat sesuatu keputusan yang memihak kepada penjawat awam termasuk pesara yang terbeban dengan kadar cukai taksiran yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemotongan itu diberikan kepada premis kediaman yang siap dibina pada 2017 sehingga kini dan melibatkan hampir 8,500 unit kediaman dikuatkuasakan bermula 1 Januari 2023 sehingga penilaian semula dilaksanakan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj).

Mohd. Hisamudin pada masa sama yakin ‘hadiah’ ini akan meningkatkan lagi semangat para penjawat awam dan penduduk Putrajaya yang terkesan peningkatan kos sara hidup.

Katanya, para penduduk juga berharap agar pengurangan cukai taksiran ini dapat dikekalkan untuk jangka masa lebih panjang demi kelangsungan hidup penduduk.

“Bagaimanapun, diharap pengurangan kutipan cukai ini tidak akan menjejaskan operasi dan kualiti perkhidmatan pihak Perbadanan Putrajaya kepada warganya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya