Cuepacs harap PM laksana gaji minimum RM1,800 - Utusan Malaysia

Cuepacs harap PM laksana gaji minimum RM1,800

Cuepacs gaji
V. SIVAKUMAR (kiri) dan Adnan Mat (kanan) ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Konvensyen Kongres Tritahunan Cuepacs ke 29 di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat merealisasikan tuntutan gaji minimum RM1,800 yang dikemukakan kongres itu sebelum ini.

Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata perkara itu sudah dicadangkan kepada kerajaan tiga tahun lalu, bagaimanapun disebabkan pandemik Covid-19 dan pertukaran kerajaan, ia tidak dapat dilaksanakan.

“Anggota perkhidmatan awam masih lagi diberi gaji minimum RM1,200, justeru Cuepacs mencadangkan ia (gaji minimum RM1,800) dapat dilihat semula bagi sektor awam oleh kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10.

“Jumlah RM1,800 jika dicampur dengan elaun boleh menghampiri RM2,450. Jumlah ini menghampiri sasaran negara maju berpendapatan tinggi pada 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan di Parlimen pada 27 November 2021,” katanya selepas Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS ke-29 Sesi 2022-2025 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), hari ini.

Beliau menambah, anggota perkhidmatan awam juga kekal memberikan perkhidmatan dan penyampaian terbaik walaupun Perdana Menteri sudah bertukar sebanyak empat kali dalam tempoh empat ke lima tahun.

“Jika berlaku bencana contohnya tanah runtuh, banjir dan sebagainya kamilah ke hadapan, menjaga keamanan dan ketenteraman.

“Kami melaksanakan tugas sebaik mungkin walaupun kerajaan berubah, tetapi sistem penyampaian tidak berubah. Justeru, kami memohon sedikit kelegaan daripada kerajaan dengan gaji minimum baharu serta tambahan gaji kepada senior sedia ada,” jelasnya.

Sementara itu, Menurut Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar memaklumkan hubungan antara penjawat awam dan pihak kerajaan perlu terus kekal erat walaupun kepimpinannya bertukar selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Beliau berkata, Saya hadir merasmikan konvensyen hari dan menyampaikan amanat kepada penjawat awam untuk menyatakan betapa penting hubungan kukuh antara kesemua pekerja dan pimpinan kerajaan.

“Ini juga bagi memastikan integriti penjawat awam terus terpelihara dan semangat integriti ini ditanam dalam diri untuk terus menjadi tonggak prinsip dalam pembangunan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kongres Tritahunan Cuepacs ke 29 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kementerian Sumber Manusia sedang merangka strategi untuk dilaksana bagi memastikan golongan pekerja pelbagai sektor terus dibela. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya